AHLI Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) menerima mesej ugutan bunuh, termasuk ugutan rogol terhadap ahli perempuan.
Presidennya, Yap Wen Qing berkata ahli kumpulan pergerakan pelajar itu menerima panggilan telefon daripada beberapa individu tidak dikenali sejak Rabu.
“Ia bermula pada Rabu di mana ahli kami menerima gambar grafik ugutan rogol dan bunuh dengan kad pengenalan mereka digunakan dalam deskripsi grafik itu.
“Individu terbabit turut memberi ugutan rogol kepada ahli perempuan dan simbah asid kepada kami dan keluarga.
“Ugutan itu hingga sampaikan kepada membunuh, menggunakan ayat kasar dan rasis,” kata Yap.
Umany baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal politik.
Yap kemudian dipanggil bagi membantu siasatan sementara bekas presiden persatuan itu Wong Kan Ye ditahan dan didakwa kerana ingkar arahan polis.
Sementara itu, Yap berkata kumpulan berkenaan sudah membuat laporan polis dan menggesa supaya kes mereka diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan pelajar.
“Kami bimbang sama ada berlaku kebocoran data yang mendedahkan maklumat peribadi ahli Umany.
“Panggilan telefon ugutan dan mesej ini menyebabkan tekanan psikologi dalam kalangan ahli kami dan keluarga.”
Dalam temubual bersama The Malaysian Insight minggu lalu, Yap berkata kenyataan dibuat berkenaan Agong adalah berdasarkan kepada akademik.
Kumpulan itu sudah pun memohon maaf kepada Agong kerana memuat naik kenyataan berkenaan dan mempertikaikan kuasa raja.
Umany juga menarik balik kenyataan yang disiarkan pada 30 Oktober di saluran media sosial. – 20 November, 2020.
Komen