Rakam video polis bukan satu jenayah, kata kumpulan peguam 


Aktivis pelajar Wong Yan Ke merakam serbuan polis di rumah Presiden Umany Yap Weng Qing semalam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

PIHAK polis perlu menjelaskan bagaimana aktivis pelajar menghalang mereka menjalankan tugas dengan merakam serbuan polis yang menyebabkan penahanannya, kata kumpulan peguam hari ini.

Penyelaras Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata setakat ini polis tidak memberikan apa-apa penjelasan bagaimana  Wong Yan Ke menghalang siasatan mereka.

“LFL mengecam keras penangkapan itu dan juga kenyataan tidak masuk akal bahawa merakam polis adalah kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Merakam video polis bukan satu jenayah, dan pihak berkuasa perlu jelaskan bagaimana ia boleh menghalang mereka daripada menjalankan tugas.

“Seksyen 186 Kanun Keseksaan tidak boleh digunakan hanya untuk menangkap orang yang merakam tindakan polis, kerana tidak ada undang-undang yang menunjukkan bahawa tindakan itu bertentangan dengan undang-undang,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada penahanan Wong semalam kerana didakwa menghalang polis menjalankan tugas dengan merakam serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata serbuan itu dijalankan kerana ada kaitan dengan siasatan di bawah Akta Hasutan melibatkan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany).

Beliau berkata, Wong, 24, yang merupakan bekas presiden Umany bertindak merakam serbuan itu dengan telefon bimbit dan menyiarkan melalui Facebook Live.

“Selepas amaran yang diberi tidak diendahkan, polis menahan individu terbabit dan merampas telefon bimbitnya kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” kata Fadzil dalam satu kenyataan.

Serbuan dijalankan di rumah Presiden Umany Yap Wen Qing susulan siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Universiti Malaya sebelum ini dilaporkan akan menjalankan siasatan berhubung satu hantaran bertajuk “Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara” yang dimuat naik di Facebook Umany.

Zaid turut menyatakan polis kini dalam proses untuk melaksanakan penggunaan kameran badan bagi memastikan ketelusan dan menghalang salah guna kuasa oleh anggota penguatkuasa, oleh itu mereka tidak boleh mengatakan rakaman video tindakan mereka sebagai menghalang mereka menjalankan tugas.

“Justeru kami menggesa polis membebaskan Wong Yan Ke dengan segera dan menggugurkan semua siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya. – 8 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen