Badan siswa UM kecam respons universiti terhadap kes gangguan seksual


UMANY mendakwa VC UM Abdul Rahim Hashim menipu berhubung kes gangguan seksual difailkan terhadap seorang pensyarah kanan di UM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2020.

UNIVERSITI Malaya (UM) mengorbankan keadilan dengan berdiam diri, hinggalah segalanya terbongkar, mengenai dakwaan kes gangguan seksual dilakukan seorang pensyarah terhadap pelajar, kata kumpulan pelajar universiti itu.

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) berkata pendedahan kes itu hanya dibuat kerana pelajar terbabit membuat laporan polis semalam.

Naib Canselor (VC) UM Abdul Rahim Hashim semalam berkata pensyarah terbabit sudah digantung tugas.

“Pengurusan UM sepatutnya membuat pengumuman. Keadilah dikorbankan. Hukuman seumpama itu hanya memberi kesan kecil kepada pensyarah terbabit yang masih mendapat gaji tinggi untuk meneruskan hidupnya dengan selesa.

“Adakah keadilan berlaku? Atau ada lagi yang lain akan ikut seperti ini, mempergunakan kelompongan prosedur.

“Kami tidak boleh hadam hakikat bahawa pengurusan universiti gagal bertindak yang boleh dijadikan pengjaran kepada pelaku pada masa depan,” kata UMANY dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh presidennya, Yap Wen Qing.

Rahim semalam mengumumkan penggantungan tugas pensyarah terbabit susulan siasatan dijalankan selepas laporan dibuat pada Jun tahun lalu.

Pelajar terbabit membuat laporan polis baru-baru ini selepas tidak berpuas hati dengan cara UM mengendalikan kes itu.

UMANY juga membantah kenyataan Rahim bahawa pensyarah itu digantung tugas, berkata pada masa keputusan itu dibuat, pensyarah terbabit sudah pun bersara.

“Oleh itu, hukuman itu hanya mengurangkan pencen persaraan. Hukuman seperti itu tidak menjejaskan pensyarah terbabit.”

Menurut The Star, pelajar tahun tiga yang tidak boleh didedahkan identitinya, berkata dalam laporan polis gangguan seksual dilakukan oleh seorang pensyarah kanan di pejabat pensyarah itu pada 3 Jun tahun lalu.

Mangsa mendakwa pensyarah terbabit menepuk-nepuk punggung kirinya dan mencengkam lengan dan lengan atasnya.

Pelajar itu mendakwa tiada tindakan relevan diambil terhadap kesnya selepas beliau membuat laporan rasmi kepada universiti pada 1 Julai tahun lalu.

The Star turut memetik Presiden Persatuan Pelajar UM (Umsu) Muhammad Haziq Azfar Ishak yang berkata persatuan dimaklumkan oleh pengurusan UM bahawa siasatan universiti sudah selesai dan keputusan dibuat bulan lalu, bulan yang sama dengan persaraan pensyarah itu.

UMANY mengecam kenyataan Rahim berkenaan maklumat berkenaan hukuman terhadap pensyarah itu tidak dapat didedahkan kerana ia tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, menuduh naib canselor menipu dan hipokrit, serta hanya mahu menutup isu itu.

UMANY turut mendakwa aduan mangsa itu bukan satu-satunya kes membabitkan pensyarah itu, dan unit integriti universiti ada menghubungi pelajar lain. – 17 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen