CSA lebih baik daripada tukar PM, kata ahli akademik


Aminah Farid

Penganalisis politik Profesor Wong Chin Huat berkata CSA perlu bagi memastikan kestabilan politik dalam negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2020.

SITUASI politik negara kini memerlukan penyelesaian inovatif seperti perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) untuk terus maju ke hadapan, kata Profesor Wong Chin Huat.

Beliau berkata CSA tidak sepatutnya diabaikan kerana ia merupakan alat yang berkesan untuk menstabilkan situasi politik dalam negara.

“Kita akui kini kita berada dalam situasi yang sukar diramal. Ini bermakna kita tidak boleh lagi mengikut cara lama,” katanya ahli akademik dari Sunway University. 

Tambah beliau, ketidakstabilan politik tidak boleh diselesaikan hanya dengan melantik perdana menteri baharu yang kemudiannya akan berdepan isu yang sama  dalam pentadbiran.

Menurutnya ahli politik perlu lebih realistik dalam memperakui bahawa negara memerlukan situasi politik yang stabil bagi membolehkan pembaharuan yang  diperlukan oleh negara dibuat.

CSA diperlukan oleh sebuah kerajaan yang tidak mempunyai sokongan majoriti untuk memastikan rang undang-undang perbekalan atau usul percaya diluluskan di dewan perundangan.

“Pertukaran perdana menteri setiap 12 hingga 15 bulan tidak memberikan apa-apa khidmat kepada negara dalam pembaharuan institusi,” kata Wong pada Webinar anjuran Gabungan Bertindak Malaysia bertajuk “Political Stability In A Time of Covid”.

Program itu turut mengetengahkan ahli akademik dan profesor kolumnis Tajudin Rasdi dan Presiden Hakam Dr. Gurdial Singh Nijar yang mana kedua-dua mereka menolak untuk menggunakan CSA sebagai alat untuk memastikan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut Wong, walaupun perdana menteri baharu mengambil alih, CSA akan sentiasa menjadi piihan yang relevan selagi kerajaan masih tidak stabil.

“Apabila kita berbicara tentang sama ada perlu ada CSA atau PM baharu atau tidak, saya secara peribadinya merasakan selagi tiada kerajaan yang kukuh, walau PM baharu dilantik, CSA perlu menjadi sebahagian daripada perjanjian,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin boleh mengukuhkan kedudukannya menerusi CSA, yang akan mengurangkan ancaman sabotaj dari dalam.

“Katakan perdana menteri berjaya mendapat sokongan daripada satu atau dua parti pembangkang, yang sama dengan lebih 40 kerusi, untuk CSA.

“Ini akan melemahkan kuasa rundingan Umno, yang mempunyai 39 kerusi, oleh itu ia menjadikan kedudukan Muhyiddin lebih selamat.”

CSA yang berjaya akan menghalang Muhyiddin daripada memberikan terlalu banyak konsesi kepada rakan sekutunya, yang mungkin baik untuk negara, tambahnya.

Penganalisis politik itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan anggapan bahawa CSA merosakkan demokrasi berparlimen negara dan berpendapat bahawa ia benar-benar dapat membantu mencapai pembaharuan positif.

Beliau mengatakan, parti pembangkang dapat mengambil kesempatan untuk menuntut pembaharuan tertentu sebagai ganti sokongan mereka terhadap Rang Undang-Undang Belanjawan.

“Sesetengah parti seperti DAP dan MUDA, telah menuntut pembaharuan seperti peruntukan dana kawasan Parlimen sama rata untuk semua parti. Ini dengan mudahnya dimasukkan ke dalam Belanjawan.”

Beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Liew Chin Tong dari DAP dan pemimpin MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa CSA ditandatangani menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada persidangan kali ini.

Antara desas desus tuntutan untuk dijadikan sebahagian daripada CSA adalah dana peruntukan sama rata bagi semua kawasan Parlimen, berjumlah RM3.8 Juta.

“Sekiranya kerajaan gagal memenuhinya apa yang semua parti perlu lakukan hanyalah tidak menyokong rang undang-undang itu.”

Wong bagaimanapun mengakui pembaharuan institusi tidak akan dapat dicapai serta merta.

“Katakan jika kamu mahu pembaharuan parlimen atau menulis semula Peraturan Mesyuarat, apa yang kamu boleh buat adalah dengan menuntut pelantikan Jawatankuasa Pemilih yang lebih seimbang sebagai permulaan. Sejauh mana prestasi mereka, itu kemudian.

“Kunci utama CSA adalah lawan kamu perlu bantuan kamu untuk bertahan. Kamu boleh gunakan peluang itu untuk kelebihan.

“Masalahnya ialah Parlimen kita masih belum ada pembaharuan sepenuhnya. Walau di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Ini lebih penting daripada bimbangkan siapa yang akan jadi perdana menteri.”

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua ahli politik menyokong Belanjawan 2021 untuk menghadapi pandemik Covid-19, kerana dana itu perlu bagi bekalan perubatan dan keperluan petugas barisan hadapan.

Sabtu lalu, Muhyiddin turut menggesa semua parti politik mengetepikan perbezaan fahaman dan bersama menyokkng belanjawan untuk menangani pandemik.– 4 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen