PAKATAN Harapan (PH) perlu membentuk Kabinet bayangan sebelum Parlimen bersidang pada 18 Mei walaupun status gabungan itu dan parti komponen lain tidak jelas, kata seorang saintis politik.
Ini akan memberi keyakinan kepada pengundi yang PH masih merupakan “kerajaan menunggu” yang berdaya maju dan memastikan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) lebih bertanggungjawab, kata Prof Wong Chin Huat dari Universiti Sunway.
Kabinet bayangan dengan menterinya sendiri diamalkan di United Kingdom dengan anggota Parlimen kanan pembangkang memberi perhatian dengan meneliti dasar dan isu menteri tertentu.
Wong berkata seorang menteri bayangan selalunya menjadi calon utama portfolio Kabinet yang mereka mahir sekiranya parti menang pilihan raya umum dan menjadi kuasa persekutuan.
Membentuk Kabinet bayangan juga akan menunjukkan kepada pengundi yang PH mempunyai polisi alternatif bagi isu paling mendesak di negara ini dan bukan hanya menjadi pengkritik kerajaan, kata Wong dalam webinar bertajuk, “Kabinet Bayangan dan Profesionalisasi Politik Pembangkang”, hari ini.
Bekas kerajaan sudah mempunyai anggota Parlimen cukup berpengalaman yang merupakan bekas anggota Kabinet seperti menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang boleh memantau menteri semasa Dr Adham Baba, kata WOng.
Beliau menambah ia akan menjadi kesilapan bagi PH jika tidak melakukan apa yang dipraktikkannya ketika menjadi blok pembangkang selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013. – 6 Mei, 2020.
Berita penuh di sini
Komen