KAKITANGAN Parlimen termasuk anggota polis bantuan yang bertugas di bangunan berkenaan disahkan bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.
Ketua Pentadbir Parlimen Kamis Samin dalam satu kenyataan berkata saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijalankan pada 28 dan 30 Oktober lalu bagaimanapun mendapati dua individu disahkan positif, iaitu petugas media dan pegawai kepada ahli Dewan Negara.
“Hasil kajian menunjukkan semua kakitangan Parlimen adalah negatif dan bebas daripada jangkitan Covid-19.
“Bagaimanapun, melalui hasil ujian saringan tersebut yang turut melibatkan pihak media rasmi dan ahli Parlimen, terdapat dua kes positif yang melibatkan petugas media dan seorang pegawai kepada ahli Dewan negara.
“Kedua-dua kes tersebut telah diambil tindakan lanjut oleh KKM sejurus selepas keputusan ujian saringan diperolehi,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan tengah hari ini.
Parlimen Malaysia juga telah mengambil pelbagai usaha dan persediaan sewajarnya bagi mengekang wabak berkenaan untuk memastikan kelancaran persidangan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada Jumaat ini.
Ahli Parlimen bersetuju persidangan Dewan Rakyat pada minggu ini disingkatkan ke pukul 1 petang, berbanding 5.30 petang atas nasihat dan saranan KKM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan ketika mencadangkan usul itu semalam berkata, ia berikutan keputusan ujian yang mendapati beberapa kakitangan Dewan Negara positif.
Katanya, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan risiko amat tinggi jika persidangan berlangsung dengan lama.
Keputusan sama dicapai sebulat suara hari ini selepas Takiyuddin membawa usul berkenaan sebaik sahaja Parlimen bersidang.
Senator Ras Adiba Radzi sementara itu dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pegawai khasnya yang juga ahli keluarga positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Beliau juga memberitahu 10 ahli keluarganya sedang menunggu keputusan saringan Covid-19. – 3 November, 2020.
Komen