PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini dipendekkan setakat 1 petang untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 selepas beberapa kakitangan Parlimen disahkan terkena jangkitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang mencadangkan penangguhan persidangan berkata usul sama akan dibuat setiap hari pada minggu ini, mengikut Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat 12(2).
“Beberapa kakitangan Dewan Negara disahkan Covid 19 dan dijangka ada ahli Dewan Negara positif kerana pegawai berkenaan ada kaitan keluarga.
“Itu perkembangan yang membimbangkan kita,” katanya, ketika mengemukakan usul penangguhan persidangan selepas sesi soal jawab menteri.
Dewan Rakyat mula bersidang hari ini untuk Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat selama 27 hari sehingga 15 Disember.
Ketika dicelah Lim Guan Eng (Bagan-Pakatan Harapan), Takiyuddin menjelaskan langkah memendekkan tempoh itu hanya untuk persidangan pada minggu ini.
Katanya, langkah kawalan tersebut akan dibincangkan semula untuk sesi perbahasan Belanjawan 2021 yang akan bermula minggu depan.
Senator Ras Adiba Radzi sementara itu dalam satu kenyataan memaklumkan pegawai khasnya yang juga ahli keluarga positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Beliau juga memberitahu 10 ahli keluarganya sedang menunggu keputusan saringan Covid-19.
Takiyuddin mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat selepas beliau dan ketua-ketua whip parti politik dipanggil ke satu perbincangan, yang disertai Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut Takiyuddin, Dr Noor Hisham memaklumkan risiko amat tinggi jika persidangan berlangsung dengan lama.
Walaupun tempat duduk wakil rakyat dipisahkan dengan cermin untuk menyekat penyebaran Covid-19, risiko jangkitan tetap tinggi, katanya.
“Saya rasa perlu Yang Berhormat dapatkan penjelasan daripada ketua whip yang bersetuju, yang perlu kita ubah sedikit, tempoh persidangan tidak ada persidangan sebelah petang.
“Kami dinasihatkan KKM risikonya amat tinggi, kedudukan kita dalam keadaan tertutup, walaupun ada cermin ini, sejauh mana elakkan penularan (tidak diketahui).
“Tetapi KKM katakan lebih lama kita berada bersama dalam keadaan ini risikonya amat tinggi sekali, atas dasar itu kita cadangkan perkara ini di bawa ke sini tanpa sebarang prejudis,” katanya.
Aturan Mesyuarat 12 menetapkan persidangan Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi dan berhenti rehat pada 1 tengah hari sebelum disambung pada 2.30 petang hingga 5.30 petang.
Seorang menteri bagaimanapun boleh mengemukakan usul yang tidak perlu dibahas untuk mengubah waktu tersebut.
Dewan Rakyat dijadual mendengar pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Jumaat ini.– 2 November, 2020.
Komen