DEWAN Rakyat bersetuju untuk memendekkan waktu persidangan dari jam 10 pagi sehingga jam 1 tengahari untuk minggu ini setelah beberapa kakitangan Dewan Negara positif Covid-19.
Keputusan itu dicapai sebulat suara selepas Menteri di Jabatan Perdana (Hal ehwal undang-undang) Takiyuddin Hassan membawa usul berkenaan sebaik sahaja Parlimen bersidang hari ini.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) bangun meminta penjelasan daripada Speaker Dewan Rakyat sama ada laporan mengatakan terdapat polis bantuan Parlimen turut disahkan positif Covid-19.
Azhar Azizan Harun bagaimanapun berkata pegawai polis bantuan itu tidak bertugas di kawasan Pejabat Perdana Menteri termasuk Parlimen walaupun bertanggungjawab di bawah kementerian tersebut.
Ahli Parlimen Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) kemudian bangun meminta penjelasan sama ada pejabatnya sudah disanitasi kerana pegawai kepada senator Dewan Negara yang disahkan positif berkongsi pejabat dengannya.
“Kami ditempatkan di pejabat sama, saya ingin tahu jika pejabat dah disanitasi sebelum kami masuk semalam,” kata Maszlee.
Azhar kemudian berkata pihaknya difahamkan kakitangan Senator Ras Adiba Radzi itu disahkan positif Rabu lalu dan tidak berlegar-legar di Parlimen.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata terdapat polis bantuan dan petugas media yang disahkan positif Covid-19 dikaitkan dengan Parlimen. – 3 November], 2020.
Komen