Polis bantuan, petugas media antara sah positif Covid-19 dikaitkan dengan Parlimen


Ragananthini Vethasalam

Setakat ini, enam kes melibatkan jangkitan dikaitkan dengan Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2020.

SEORANG anggota polis bantuan dan seorang petugas media adalah antara kes positif Covid dikaitkan dengan Bangunan Parlimen, selain pegawai Senator Ras Adibah Mohd Radzi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Hari ini kami mendapati seorang polis bantuan positif, dan menerusi jejak kontak (kami dapati) tiga rakan sejawatnya juga positif dan isterinya juga (sah) positif. Itu sahaja sudah lima kes,” katanya pada sidang media, hari ini.

“(Hasil ujian) seorang petugas media juga positif dan kami sedang menjalankan saringan ke atas keluarganya. Keputusan belum keluar,” tambahnya.

Sidang Dewan Rakyat hari ini dipendekkan setakat 1 petang sebagai langkah berjaga-jaga.

Ras Adiba dalam kenyataan berkata, adiknya yang juga pegawai khasnya Ras Afiona Radzi disahkan positif baru-baru ini dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Saya dan 10 ahli keluarga sedang menunggu keputusan saringan Covid-19.

“Saya ingin memohon maaf sekiranya telah menyusahkan mana-mana pihak susulan kejadian yang telah menimpa saya dan keluarga,” katanya. 

Walaupun Dewan Rakyat mula bersidang hari ini, Dewan Negara bersidang selama 11 hari bermula 2 hingga 23 September lepas.

Semua ahli Parlimen dan kakitangan dihendaki menjalani saringan tiga hari sebelum persidangan.

Dr Noor Hisham bagaimanapun, menyuarakan kebimbangan yang wakil rakyat terdedah kepada jangkitan di persekitaran luar termasuklah hotel mereka sepanjang persidangan selama enam minggu.

“Kami juga menyedari ada risiko jangkitan ketika ‘buffet lunch’. Ada contoh yang kami lihat dari negara lain (jangkitan merebak) ketika buffet majlis kahwin dan hotel,” tambahnya.

Beliau juga mengingatkan semua yang hadir sidang Parlimen supaya patuh SOP ditetapkan walaupun wujud langkah pencegahan lain seperti papan penghadang antara kerusi wakil rakyat. – 2 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen