Pegawai Khas Senator Ras Adiba Radzi positif Covid-19


Chan Kok Leong

Senator Dewan Negara Ras Adiba Radzi mengesahkan adik yang juga Pegawai Khasnya disahkan positif Covid-19. – Gambar Facebook, 2 November, 2020.

ADIK dan juga Pegawai Khas kepada Senator Dewan Negara Ras Adiba Radzi disahkan positif Covid-19, kata ahli Parlimen itu selepas persidangan Dewan Rakyat dipendekkan setakat  jam 1 petang hari ini.

Dalam satu kenyataan bekas penyampai berita itu berkata, Ras Afiona Radzi disahkan positif selepas melakukan ujian saringan baru-baru ini dan kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saya dan 10 ahli keluarga sedang menunggu keputusan saringan Covid-19.

“Saya ingin memohon maaf sekiranya telah menyusahkan mana-mana pihak susulan kejadian yang telah menimpa saya dan keluarga,” katanya. 

Ras Adiba yang dilahirkan di Petaling Jaya dilantik sebagai senator mewakili golongan orang kurang upaya (OKU).

Dewan Negara ditetapkan bersidang antara 14 hingga 23 Disember, selepas persidangan Dewan Rakyat selama 27 hari bermula hari ini hingga 15 Disember.

Aturan Mesyuarat 12 menetapkan persidangan Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi dan berhenti rehat pada 1 tengah hari sebelum disambung pada 2.30 petang hingga 5.30 petang.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini dipendekkan setakat 1 petang untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 selepas beberapa kakitangan Parlimen disahkan terkena jangkitan.

“Beberapa kakitangan Dewan Negara disahkan Covid 19 dan dijangka ada ahli Dewan Negara positif kerana pegawai berkenaan ada kaitan keluarga.

“Itu perkembangan yang membimbangkan kita,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang mengemukakan usul penangguhan persidangan selepas sesi soal jawab menteri.

Beliau berkata usul sama akan dibuat setiap hari pada minggu ini, mengikut Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat 12(2). – 2 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen