MAJLIS Raja-Raja tidak memperkenan pilihan untuk mengadakan pilihan raya umum apabila Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri ketujuh, kata pendahulunya Najib Razak.
Najib mendedahkan demikian dalam tulisan di Facebook hari ini yang menyentuh kecairan sokongan Umno ke atas perdana menteri waktu ini, Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Majlis Raja-Raja pada waktu itu sebaliknya mahu Umno menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.
“Semasa PM ketujuh letak jawatan secara mengejut, pendirian Umno masa itu ialah untuk pilihan raya umum diadakan untuk menyelesaikan kemelut politik masa itu.
“Namun, Majlis Raja-raja tidak bersetuju dan kita diminta untuk memberi sokongan untuk mewujudkan kerajaan PN,” kata Najib.
Perkara itu kali pertama didedahkan sejak Umno berjaya mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan hasil kerjasama dengan Bersatu, PAS dan GPS pada Februari lalu.
Dr Mahathir tampil mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada 24 Februari apabila Muhyiddin mengumumkan parti itu keluar PH.
Dalam penjelasannya selepas itu, Dr Mahathir berkata keputusan meletak jawatan itu tidak dibuat olehnya sendiri tetapi selepas berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.
PH seterusnya hilang majoriti di Dewan Rakyat pada hari yang sama apabila 11 ahli Parlimen PKR diketuai timbalan presiden yang dipecat parti itu, Azmin Ali, turut menarik balik sokongan.
Pada waktu itu, pelbagai pihak termasuk parti dalam PH yang menang PRU14 menuntut pilihan raya umum dijalankan untuk membuktikan mandat sah untuk membentuk kerajaan.
Yang di-Pertuan Agong kemudian memperkenan pembentukan kerajaan baharu gabungan Bersatu, PAS, Umno dan GPS dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Peralihan kuasa itu berlaku ketika gelombang pertama jangkitan Covid-19 mula dikesan dalam komuniti.
Namun keabsahan kerajaan yang dibentuk Muhyiddin kini menjadi persoalan apabila Umno mengumumkan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri dari menyokong PN.
Najib menyokong usaha tersebut dan menyenaraikan alasan beliau, termasuk kekecewaannya apabila Umno dipinggir dalam kerajaan sedangkan pemimpin seperti Azmin lebih berkuasa.
Keputusan mempertimbang pilihan menarik sokongan itu dibuat Biro Politik Umno semalam selepas penasihat parti Tengku Razaleigh Hamzah menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Razaleigh menyusuli Presiden PKR Anwar yang menghadap baginda untuk mempersembahkan bukti sokongan yang diperolehi untuk mengambil alih kerajaan.
Satu suratnya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat juga menyatakan beliau sudahpun memohon agar usul tidak percaya ke atas Muhyiddin dibentangkan di Parlimen.
Beberapa pemimpin parti lain termasuk DAP dan Amanah dijadualkan menghadap baginda hari ini tetapi ditangguhkan. – 14 Oktober, 2020.
Komen