KEPUTUSAN Umno untuk mempertimbangkan semula sokongan kepada Perikatan Nasional adalah tepat, kata Najib Razak.
Bekas presiden Umno itu berkata keputusan dibuat berdasarkan ketidakpuasan hati Bahagian Umno dan akar umbi yang merasakan mereka dipinggirkan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Memandangkan sentimen akar umbi serta lapisan pemimpin Umno, saya rasa keputusan semalam adalah munasabah dan tidak keterlaluan sebab ianya mampu membuka ruang lebih besar dan lebih adil untuk kami menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid,” katanya dalam coretan panjang lebar di Facebook, petang tadi.
Malam tadi, Biro Politik Umno mengancam menarik balik sokongan kepada PN jika permintaan parti Melayu itu tidak dipenuhi. Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata permintaan itu akan dihantar secara bertulis kepada Muhyiddin secepat mungkin.
Najib mendakwa Umno dan pemimpinnya diketepikan dalam proses membuat keputusan politik dan ekonomi.
Beliau juga mendedahkan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, pelantikan Hajiji Mohd Noor daripada Bersatu sebagai ketua menteri dan bukannya Bung Moktar daripada Umno mencetuskan kemarahan akar umbi parti.
“Namun apa yang berlaku di Sabah (termasuk mengambil kerusi Umno dan PN letak calon Bebas untuk pecahkan undi BN), kenyataan-kenyataan dari ketua Armada PPBM (Pemuda Bersatu) serta perkongsian kuasa yang di lihat berat sebelah telah terus membakar ketidakpuasan dan kemarahan ramai ahli-ahli Umno,” katanya lagi.
Keputusan mempertimbang pilihan menarik sokongan itu dibuat Biro Politik Umno semalam selepas penasihat parti Tengku Razaleigh Hamzah menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Razaleigh menyusuli Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menghadap baginda untuk mempersembahkan bukti sokongan yang diperolehi untuk mengambil alih kerajaan.
Satu suratnya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat juga menyatakan beliau sudahpun memohon agar usul tidak percaya ke atas Muhyiddin dibentangkan di Parlimen.
Beberapa pemimpin parti lain termasuk DAP dan Amanah dijadualkan menghadap baginda hari ini tetapi ditangguhkan. – 14 Oktober, 2020.
Komen