PERATURAN bagi pembiayaan politik perlu untuk menyemai ketelusan yang tinggi, namun Pakatan Harapan (PH) tidak akan bersetuju dengan peraturan yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana bimbang akan dianiaya, kata Khalid Samad dari Amanah.
Menurut Khalid, sebarang pendedahan pembiayaan awam kepada pakatan pembangkang akan membawa kepada penganiayaan dan serangan dari pihak kerajaan.
“Semua parti politik perlukan pembiayaan dan bagi semua yang berada dalam arena politik lebih baik jika pembiayaan atau sebahagian besar darinya datang dari orang awam supaya mereka akan lebih bertanggungjawab kepada masyarakat,” kata Khalid.
“Saya setuju dengan prinsip itu.
“(Tetapi) untuk melaksanakannya di bawah BN, seperti yang saya katakan, akan menyebabkan kami dikenakan banyak tindakan undang-undang dan pendakwaan atau penganiayaan politik, terutamanya kepada penderma kami,’ kata Ahli Parlimen Shah Alam itu di forum mengenai pembiayaan awam untuk parti politik di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, Khalid bersetuju pembiayaan awam untuk parti-parti politik perlu dilihat secara serius bagi mewujudkan persekitaran politik yang lebih telus.
“Apabila anda tiada sumber undang-undang yang jelas untuk duit itu… maka akan timbul pelbagai pendekatan pelik termasuk amalan kronisme dan sebagainya.
“Tetapi di Malaysia, masalahnya bukan tentang kurang udang-undang atau dasar… masalahnya ialah pelaksanaan.”
Terdahulu hari ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Najib Razak “memerah” wang daripada individu-individu dan juga syarikat untuk menambah tabung kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau berkata pembayar cukai ini juga diberi amaran supaya tidak menderma kepada parti pembangkang malah tidak boleh “dilihat hampir dengan mereka”.
“Najib takut sokongan kewangan terhadap pembangkang. Untuk menghentikannya, Najib mengugut dengan ancaman dan gangguan terhadap mereka yang berpotensi menyumbang kepada pembangkang.
“(Tindakan ini) dengan menekan individu dan syarikat bagi pendapatan tambahan dan cukai korporat. Pihak pemungut cukai akan mengklasifikasikan semula elaun dan mengenakan cukai. Cukai akan dituntut ke atas perkara baru yang dikenakan cukai dengan undur tarikh 10 atau 20 tahun. Tiba-tiba pembayar cukai mendapati mereka perlu membayar berjuta-juta cukai lama,” kata pengerusi PH itu.
Pada September, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low berkata undang-undang untuk mengawal pembiayaan politik untuk parti akan siap pada pilihan raya umum ke-15.
“Akta ini tidak sempat dikemukakan untuk PRU14 tetapi akan siap untuk PRU15.”
Menurut Low, dana awam dan persendirian ada dibincangkan dalam rundingan menyiapkan draf akta berkenaan tetapi banyak pihak membantah penggunaan dana awam kerana tidak mahu melibatkan duit cukai rakyat. – 15 Disember, 2017.
Komen