Derma politik dikawal undang-undang dalam PRU15, kata menteri


Sharon Tan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low berkata sebuah jawatankuasa teknikal sudah dibentuk bagi menggubal akta mengenai derma parti politik bersama pegawai di Jabatan Peguam Negara selepas merasmikan persidangan Demokrasi di Asia Tenggara di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insigth oleh Kamal Ariffin, 2 Ogos, 2017.

SEMUA dana dan derma untuk parti politik akan dikawal selia di bawah sebuah undang-undang baru yang akan digubal oleh Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low.

Jelas beliau, sebuah jawatankuasa teknikal sudah dibentuk bagi menggubal akta itu bersama pegawai di Jabatan Peguam Negara.

“Akta ini tidak sempat dikemukakan untuk PRU14 tetapi akan siap untuk PRU15.

“Ia satu perundangan yang luas. Kita sudah ada rundingan dengan orang ramai dan parti politik berkenaan hal ini,” katanya selepas merasmikan persidangan Demokrasi di Asia Tenggara di Kuala Lumpur.

Persidangan dua hari yang dihadiri oleh pemimpin serantau termasuk bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Yayasan Kofi Annan.

Menurut Low, dana awam dan persendirian ada dibincangkan dalam rundingan menyiapkan draf akta berkenaan tetapi banyak pihak membantah penggunaan dana awam kerana tidak mahu melibatkan duit cukai rakyat.

“Mereka tidak mahu duit cukai rakyat digunakan untuk parti politik yang perjuangan dan ideologinya tidak mereka persetujui,” kata Low.

Tambah beliau, Malaysia akan memberi perhatian pada dana peribadi yang boleh disalurkan secara dalam talian serta menunjukkan juga jumlah sumbangan dan ke mana ia dibelanjakan.

Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) pada Ogos 2015, yang kemudian menggariskan 32 cadangan kepada kerajaan termasuk penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik, hasil rundingan awam selama hampir setahun.

Antara cadangan bagi Akta Derma dan Perbelanjaan Politik itu adalah pengharaman derma wang tunai daripada sumber asing.

Najib menerima AS$700 juta dalam akaun bank peribadi beliau pada 2013 yang didakwa oleh The Wall Street Journal daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib, bagaimanapun, menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan ia sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pada masa sama, para ahli politik pembangkang menyuarakan kebimbangan yang pendedahan identiti penderma boleh membantutkan sumbangan kepada kempen mereka.

Mereka juga mendakwa entiti perniagaan yang menyokong turut akan diganggu atau disenarai hitam daripada memperoleh kontrak tertentu. – 2 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen