Putrajaya tekan syarikat, pembayar cukai agar henti biaya pembangkang


Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Najib Razak sedang mencari wang untuk menambah tabungan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak sedang “menekan” individu dan syarikat untuk menambah tabungan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Dr Mahathir Mohamad dalam catatan blog terbarunya.

Pada masa yang sama, Putrajaya juga menghalang pengumpulan dana pihak pembangkang dengan memberitahu ahli perniagaan agar tidak memberi sumbangan, tambah bekas perdana menteri itu.

“Najib takut sokongan kewangan terhadap pembangkang. Untuk menghentikan ini, Najib mengugut dengan ancaman dan gangguan terhadap mereka yang berpotensi menyumbang kepada pembangkang.

“Ia dengan menekan individu dan syarikat bagi pendapatan tambahan dan cukai korporat. Pihak pemungut cukai akan mengklasifikasikan semula elaun dan mengenakannya cukai. Cukai akan dituntut ke atas perkara baru yang dikenakan cukai dengan undur tarikh 10 atau 20 tahun. Tiba-tiba pembayar cukai mendapati mereka perlu membayar berjuta-juta cukai lama,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Beliau berkata pembayar cukai ini juga diberi amaran supaya tidak menderma kepada parti pembangkang malah tidak boleh “dilihat berhampiran mereka”.

“Dengan itu bukan sahaja pembangkang akan kehilangan dana tetapi kerajaan akan mengutip lebih banyak cukai. Pada masa perniagaan tidak begitu baik, kerajaan merekodkan lebih banyak kutipan cukai,” katanya.

Dr Mahathir, yang juga mengetuai Bersatu, berkata ahli perniagaan ditekan dengan cara lain, termasuk dengan tuduhan pengubahan wang haram.

Beliau berkata ini adalah petunjuk yang Putrajaya kekurangan dana kerana ia perlu membayar pinjaman besar yang diambil oleh firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada masa sama mengekalkan operasi dan perbelanjaan kerajaan persekutuan.

Beliau juga meramalkan kerajaan tidak akan dapat membayar balik pinjaman RM55 bilion yang diambil dari China bagi projek Landasan Keretapi Pantai Timur.

Pada masa sama, Dr Mahathir menambah, kerajaan juga memerlukan lebih banyak wang untuk menangani sentimen pengundi terhadap Najib dan pentadbirannya.

“Najib percaya jika jumlah yang diberikan cukup besar, pengundi akan mengundinya,” kata Dr Mahathir dan menyenaraikan beberapa contoh perbelanjaan yang didakwa bertujuan mempengaruhi pengundi.

Ia termasuk insentif kepada peneroka Felda, skim pencen baru untuk veteran angkatan tentera, elaun mesyuarat untuk pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JKKK), dan lebih banyak pemberian tunai termasuk untuk nelayan dan melalui BR1M.

“Pada dasarnya ini adalah rasuah, rasuah terang-terangan yang bertentangan dengan undang-undang,” kata Dr Mahathir dan mempersoalkan sumber wang itu.

Beliau berkata kerajaan boleh meminjam dana tetapi terpaksa bergelut untuk membayarnya semula balik dan menuduh Najib “menyeret negara kepada bankrap”.

Dr Mahathir juga memberi amaran yang Najib boleh menghalang pembangkang daripada menawarkan alternatif kepada BN dalam pilihan raya hanya dengan menolak atau melambatkan pendaftaran PH dengan Pendaftar Pertubuhan, atau boleh membatalkan pendaftaran Bersatu. – 15 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen