Jangan tambah kasta dengan tabika elit, kata pakar akademik


Diyana Ibrahim

Langkah kerajaan menubuhkan tabika khas untuk golongan berada itu juga akan memecah-belahkan perpaduan negara, kata pakar akademik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2020.

KERAJAAN sepatutnya menumpukan usaha menangani isu dasar dalam sistem pendidikan negara dan bukan menambah masalah dengan mewujudkan tabika elit, kata pakar akademik.

Ini kerana selain mewujudkan kelas sosial, langkah menubuhkan tabika khas untuk golongan berada itu juga akan memecah-belahkan perpaduan negara, kata pakar ini.

Antaranya pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia UKM Sharifah Munirah Alatas yang menyenaraikan isu serius yang sepatutnya ditangani.

“Kerajaan sepatutnya menumpukan menangani masalah dasar seperti akses pendidikan bagi golongan miskin, kualiti guru kita yang lemah, rasuah melibatkan dana dan bagaimana infrastruktur begitu teruk di kawasan luar bandar di semenanjung Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah isu yang sepatutnya kita memberi tumpuan dan bukannya mewujudkan tabika elit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas rancangan kontroversi Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menubuhkan tabika elit bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Mengikut rancangan itu, Kemas mahu mengenakan yuran lebih tinggi berbanding kadar antara RM5 hingga RM25 bagi tabika untuk orang awam bukan elit.

Tabika elit untuk golongan kaya itu akan mempunyai kelas pintar dan kurikulum lebih baik, menurut timbalan menterinya Abdul Rahman Mohamad.

Pakar akademik berkata kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah sistem pendidikan yang sangat bercelaru bermula dari prasekolah hingga peringkat tertinggi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2020.

Mengulas perkara itu, Sharifah berkata ia jelas sekali satu bentuk diskriminasi yang memecah-belahkan golongan yang memiliki dan yang tidak ada.

Bahkan tindakan menamakan tadika atau mana-mana institusi pendidikan di bawah kerajaan sebagai elit juga tidak wajar, katanya.

Jelas beliau, ia hanya akan memecah-belahkan kaum dan akhirnya akan menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia yang miskin, tambahnya.

Menurut Abdul Rahman, kertas kerja cadangan itu sedang dipersiapkan untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet dan seterusnya ke Dewan Rakyat.

Sekiranya persetujuan dicapai, Kemas akan dapat menjalankan projek perintis, hasil kejayaan penyediaan modul baharu di 150 tabika Kemas seluruh negara.

Jumlah itu menurutnya kurang 1% daripada 10,900 tabika sedia ada untuk rakyat bukan elit dan melibatkan modul sains, teknologi, agama, kejuruteraan, seni dan matematik.

Langkah itu juga dikritik oleh pembangkang namun Abdul Rahman memberi jaminan tidak ada ada perbezaan dari segi kualiti pendidikan antara tabika elit dan tabika sedia ada.

Mengulas perkara itu, Sharifah berkata tiada keperluan untuk membuka tabika tersebut jika benar tiada perbezaan dalam kokurikulum dan kaedah pembelajaran guru.

Katanya kerajaan juga sepatutnya menyelesaikan masalah sistem pendidikan yang sangat bercelaru bermula dari prasekolah hingga peringkat tertinggi.

“Sehingga sekarang kita masih tidak dapat menyelesaikan isu dwibahasa, juga isu debat antara sekolah kebangsaan dan vernakular

“Jadi kenapa kerajaan mahu memperkenalkan satu lagi dimensi dalam sistem yang bercelaru,” soalnya.

Senada dengan itu, ialah pensyarah UKM Dr Teo Kok Seong berkata tindakan kerajaan itu tidak kena dan bercanggah dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2015.

Beliau terkejut dengan pengumuman itu dan melihat ia akan mewujudkan satu kasta baharu dalam perkhidmatan pendidikan.

“Memang kita sangat terkejut dengan pemikiran pemimpin kita sampai tahap perlu ada pengkelasan sosial sedangkan kita perlu rapatkan jurang itu matlamat pendidikan kita.

“Tapi apa mesej yang kita nak sampaikan pada rakyat kalau kita nak berkasta,” katanya.

Kerajaan perlu menyediakan kemudahan pendidikan sama rata tanpa mengira jurang antara kaum, gender, bandar dan luar bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2020.

Beliau mengingatkan, lima teras pelan itu menjamin akses pendidikan kepada semua anak bangsa, mutu pendidikan sama rata dan merapatkan jurang antara kaum bangsa, gender, bandar dan luar bandar.

“Istilah awam ini meliputi seluruh rakyat tak kira kaya miskin bandar luar bandar mesti sama rata dan beri yang terbaik.

Beliau juga tidak menolak keputusan kerajaan untuk membuka tabika elit itu lebih bermotifkan keuntungan semata-mata dan tidak harus menjadi tumpuan kerajaan.

“Sudah tentu untuk buat duit. Kalau tidak kenapa nak buat tabika untuk anak orang kaya-kaya, takkan nak bagi percuma.

“Tapi buat duit bukan urusan kerajaan, itu swasta, biarlah kerajaan ambil cukai dari swasta.

“Tugas kerajaan kena bagi pendidikan yang terbaik sama rata, kalau boleh percuma. Tapi kita faham agak mustahil untuk dilakukan,” katanya.

Beliau berkata pembukaan sekolah elitis hanya akan merosakkan perpaduan negara dan kerana itu mencadangkan apa sahaja sekolah elitis seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar dimansuhkan.

“Di tabika ini adalah di tahap kritikal kepada pembentukan awal perwatakan anak-anak kita patut semai satu sikap menghormati satu sama lain yang miskin dan tak miskin.

“Tapi apa dilakukan seolah-olah kita nak mengasingkan, nak berkasta.

“Dan sekarang pun ada sekolah elitis kalau boleh kerajaan kena perlahan-lahan mansuhkan. Perkara ini tak baik untuk perpaduan. Maksudnya apa yang istimewa dengan sekolah begini?” – 5 Oktober, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "namun Abdul Rahman memberi jaminan tidak ada ada perbezaan dari segi kualiti pendidikan antara tabika elit dan tabika sedia ada". INI TIDAK JUJUR, TIDAK BETUL. Kalau tiada perbezaan, mengapa perlu ada satu "high class" tabikla ELIT?

    Anak orang-orang golongan atasan memang diberi keistimewaan oleh Kerajaan. Mengapa??

    Prosedur kemasukan kanak-kanak bawah 6 tahun ke Tahun 1 ...www.freemalaysiatoday.com bahasa
    Translate this page
    Dec 20, 2018 - Prosedur kemasukan kanak-kanak bawah 6 tahun ke Tahun 1 perlu dikaji semula. By ... mendaftar anak-anak mereka dan amat menekan bagi kanak-kanak ... Kanak-kanak di bawah umur ini tidak akan diletakkan di sekolah ...
    Missing: kana- | Must include: kana-

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan