RANCANGAN kerajaan untuk mewujudkan pusat asuhan khas bagi ibu bapa daripada kelas elit menerima tentangan pemimpin muda pembangkang yang melihat ia melanggar hak asasi.
Antaranya bekas penolong setiausaha Pemuda Bersatu Abu Hafiz Salleh Hudin yang turut bimbang ia mewujudkan jurang kasta sedangkan sistem pendidikan perlu bersifat inklusif.
Katanya, pusat asuhan bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu tidak patut dimanipulasi sedemikian rupa dengan menyediakan sukatan pelajaran lebih baik untuk kelas elit saja.
“Kemas sebagai suatu badan institusi awam kerajaan tidak wajar dimanipulasi sedemikian rupa.
“Ia jelas bertentangan dengan hak kesamarataan dan hak berkenaan dengan pendiikan yang termaktub dalam Perkara 8(2) dan Perkara 12(1)(a) Perlembagaan,” katanya.
Beliau mengulas rancangan jabatan itu untuk memujudkan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) elit dengan kelas pintar dan kurikulum lebih baik seperti dilaporkan media Selasa lalu.
Timbalan Menteri I Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Abdul Rahman Mohamad yang dipetik dalam laporan itu berkata, ia mensasarkan golongan ibu bapa berada.
Ia hanya menumpukan golongan terbabit kerana tabika elit itu akan mengenakan yuran lebih tinggi berbanding kadar antara RM5 hingga RM25 bagi tabika untuk orang awam bukan elit.
Rahman berkata kertas kerja cadangan itu sedang dipersiapkan untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet dan seterusnya ke Dewan Rakyat.
Sekiranya persetujuan dicapai, Kemas akan dapat menjalankan projek perintis, hasil kejayaan penyediaan modul baharu di 150 tabika Kemas seluruh negara.
Jumlah itu menurutnya kurang 1% daripada 10,900 tabika sedia ada untuk rakyat bukan elit dan melibatkan modul sains, teknologi, agama, kejuruteraan, seni dan matematik.
Cadangan itu turut diselar Wanita PKR yang turut mengingatkan kerajaan bahawa hak mendapat pendidikan itu merupakan hak asasi kanak-kanak.
Malah penubuhan tabika Kemas sejak 1977 itu juga bagi menyahut saranan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membasmi buta huruf, kata seorang pemimpin exco Wanita PKR.
Fadhlina Siddiq yang mengetuai biro guaman dan pembangunan komuniti berkata, ia sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan dalam strategi membangunkan masyarakat luar bandar.
Namun ironinya, cadangan Rahman itu akan mewujudkan dua kelas prasekolah berbeza yang menurutnya akan mewujudkan kesenjangan sosial.
“Adakah ini menunjukkan anak-anak yang miskin tidak layak untuk diberikan input yang setara?”
Beliau bimbang langkah itu akan mewujudkan menyisihkan lagi kanak-kanak kurang bernasib baik dan seterusnya merencatkan pembangunan komuniti tersebut.
Oleh itu, usaha untuk menambah baik tabika Kemas perlu menumpukan kepada akses pendidikan untuk semua, katanya. – 1 Oktober, 2020.
Komen