Pemutihan usahawan Kemas sedang dijalankan, kata Rina


Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata, ini bagi mengetahui status terkini peserta di samping membolehkan kerajaan menyalurkan apa-apa bantuan lanjut yang diperlukan mengikut kehendak semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2019.

KERAJAAN sedang melakukan proses pemutihan usahawan rintis yang pernah melalui kursus anjuran Jabatan kemajuan Masyarakat (Kemas) dan menerima bantuan melalui jabatan berkenaan untuk terus memantau perkembangan mereka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata, ini bagi mengetahui status terkini peserta di samping membolehkan kerajaan menyalurkan apa-apa bantuan lanjut yang diperlukan mengikut kehendak semasa.

“Kita tidak mahu selepas mereka tamat berkursus, kit peralatan yang diberi tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ia umpama satu pembaziran kepada pihak kerajaan sedangkan saban tahun kita mengeluarkan sejumlah peruntukan untuk menjaya program ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

“Justeru sejak saya mengambil alih, saya mahu menambah baik program ini kerana sebelum ini tidak ada pemantauan yang dilakukan, kita mahu ada peningkat yang baik untuk mencapai KPI, kita nak peserta itu berjaya sebagai usahawan, bukan hanya sebagai penerima sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan Kit Peralatan “Quick Win” di Kuching. 

Pada majlis berkenaan, 29 peserta menamatkan kursus “Quick Win”, sebuah program di bawah Kemas menerima kit peralatan bagi membantu memulakan perniagaan mereka termasuk ketuhar, set ibu bersalin dan mesin jahit.

Sementara itu, peserta kursus, Paridah Mumin, 46, berkata, kursus anjuran Kemas amat membantu dari segi ilmu mengenai penjagaan ibu lepas bersalin.

“Saya memang berminat mengenai penjagaan ibu selepas bersalin sejak dahulu lagi, sebelum mengikuti kursus ini saya hanya mengamalkan penjagaan secara tradisional untuk ibu-ibu lepas bersalin di sekitar kampung.

“Setiap minggu akan ada kelas yang berlainan dan ia amat sekali gus meningkatkan pendapatan saya sebagai suri rumah,” katanya.

Kursus ‘’Quick Win’’ adalah kursus kemahiran jangka pendek yang menyasarkan komuniti yang berpendapatan rendah (B40) yang terdiri daripada belia, ibu tunggal dan golongan kurang upaya. – Bernama, 16 September, 2019.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen