KERAJAAN meminta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melahirkan lebih ramai usahawan wanita bandar dan luar bandar yang memiliki kemahiran dalam membantu meningkatkan ekonomi mereka ketika pasca-Covid-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Shabudin Yahaya berkata beliau yakin usaha Kemas itu membolehkan golongan wanita di negara ini bergerak lebih progresif dan pada masa sama meningkatkan pendapatan isi rumah serta ekonomi negara.
“Peranan wanita bermula dari rumah dan apabila mereka perlukan pendapatan lebih bagi menangani kos sara hidup terutama ketika pasca-Covid-19 ini, mereka digalakkan menceburi bidang keusahawanan, cuma mereka memerlukan bimbingan dan saya percaya Kemas mampu memberikan latihan.
“Malah, pihak Kemas juga menganjurkan pelbagai program kepada golongan wanita sepanjang tahun antaranya Program Wanita Inspirasiku (WINS) iaitu bagi tujuan membantu mempromosi produk yang dihasilkan atau diperniagakan serta memberi maklumat usaha atau program yang diberikan serta peluang untuk mengembangkan perniagaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan WINS Kemas Peringkat Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas Mohamad Yasid Bidin.
WINS anjuran Kemas dengan tema ‘Dari Desa ke Global’ adalah program yang membuka peluang kepada wanita menambah ilmu perniagaan dan membantu keluarga daripada terus berada dalam kategori miskin bandar dan menyasarkan penyertaan lebih 16,000 wanita dari seluruh negara.
Shabudin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MTPBPP) berkata beliau dimaklumkan oleh pihak Kemas sehingga hari ini, seramai 2,073 wanita di seluruh negara telah berjaya menjadi usahawan dengan pendapatan bulanan RM5,000 hingga RM30,000 menerusi program WINS tahun ini.
“Selain program WINS, terdapat beberapa program Kemas yang menjurus kepada pemerkasaan wanita antaranya kursus Kemahiran Jangka Pendek dalam bidang jahitan, masakan, dandanan diri, seni tangan dan kemahiran komputer. Pihak MTPBPP juga sekarang ini bekerjasama dengan Kemas bagi membantu golongan wanita di negeri ini,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengakui ramai golongan wanita yang berkebolehan dan perlu memberi tumpuan serta usaha memperkasakan wanita bermula di peringkat bawahan.
“Kerajaan juga telah berusaha dan menyediakan peruntukan untuk menyediakan pelbagai program dan persekitaran yang kondusif bagi memastikan penyertaan wanita lebih berdaya maju dalam dunia keusahawanan jadi saya minta mereka (wanita) rebut peluang ini supaya menjadi individu serba boleh dan lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi pasca-Covid-19,” katanya. – Bernama, 3 Oktober, 2020.
Komen