KUMPULAN aktivis NGO menggesa pengguna negara ini memboikot produk buatan Israel sebagai bantahan ke atas tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) Mohd Ridzuan Abdullah berkata 10,000 keping risalah akan diedarkan ke seluruh negara untuk memaklumkan masyarakat mengenai produk-produk yang perlu diboikot.
“Kami tidak mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan sijil perakuan halal kepada produk tersebut.
“Saya juga meminta pemimpin kita (Perdana Menteri Najib Razak) untuk bersikap tegas dalam hal ini. Mulai hari ini, kita akan melancarkan protes besar-besaran sehingga Donald Trump menarik semula kenyataannya,” kata Ridzuan kepada wartawan di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur hari ini.
Pekira dan tiga NGO lain, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Persatuan Badan Kebajikan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa India Muslim (Pebaktim) menyerahkan satu memorandum kepada Kedutaaan AS bagi membantah tindakan Trump tersebut. Memorandum itu diterima kaunselor politik Kedutaan AS.
Minggu lepas, Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan turut bercadang memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke sana.
Tindakan Trump bukan sahaja mendapat kritikan dari parti-parti politik dalam negara, malahan ia menimbulkan konflik politik di peringkat global.
Minggu lalu, kira-kira 1,000 orang hadir dalam protes di hadapan Kedutaan AS, termasuklah ahli Umno, PAS, Pemuda Bersatu (Armada) dan juga dari NGO-NGO seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Perdana Menteri Najib Razak juga dengan tegas membantah pengiktirafan itu dan berkata orang Islam di seluruh dunia tidak akan menerima keputusan megiktiraf Baitulmaqdis selaku ibu kota Israel kerana ia merupakan salah satu dari tiga tempat suci dalam agama selain Mekah dan Madinah.
Kesatuan Eropah (EU) dan kuasa-kuasa besar dunia turut menyuarakan kebimbangan mereka dengan tindakan Trump.
Komen