Trump iktiraf Baitulmaqdis ibu kota Israel


Presiden Donald Trump akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel hari ini. – Gambar AFP, 6 Disember, 2017.

PRESIDEN Donald Trump akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel hari ini, sekali gus menamatkan dasar berhati-hati Amerika Syarikat (AS) dan tidak mengendahkan amaran mengenai kesilapan yang boleh mencetuskan keganasan di Asia Barat.

Pegawai kanan pentadbiran berkata Trump akan membuat pengumuman bersejarah itu – di tengah amaran sekutu AS di seluruh rantau itu dan dunia – pada jam 1.00 tengah hari waktu tempatan di White House.

“Beliau akan berkata kerajaan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Beliau menyifatkan ini sebagai pengiktirafan kepada realiti sejarah dan realiti moden,” kata pegawai yang enggan dikenali.

Menyemarakkan perbalahan berusia beberapa abad antara Yahudi, Islam dan Kristian, Trump juga akan mengarahkan memulakan perpindahan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

“Ia akan mengambil masa mencari lokasi, menangani soal keselamatan, mereka kemudahan baru, membiayai kemudahan baru dan membinanya.

“Ia mengambil masa beberapa tahun, ia akan mengambil masa,” katanya, membayangkan langkah itu tidak akan dilakukan segera.

Dalam siri panggilan telefon penting menjelang pengumuman itu, pemimpin Arab Saudi, Mesir, Jordan, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman dan Turki memberi amaran kepada Trump mengenai tindakan itu.

Pegawai kerajaan AS diarah menjauhi Kota Lama di Baitulmaqdis dan Tebing Barat kerana menjangka bantahan besar-besaran. – AFP, 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Nk tgu komen dpd rakan golf trump

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan