Trump langgar undang-undang antarabangsa, kemanusiaan, kata Khairy


Asila Jalil

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ketika protes mengutuk tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Kedutaan Amerika Syarikat hari ini. Semalam, Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, langsung mencetuskan reaksi "panas" sebahagian warga dunia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Disember, 2017.

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump tidak patut menjejakkan kaki langsung di Baitulmaqdis, apatah lagi mengangkat kota suci itu sebagai ibu negara Israel, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, tindakan Trump itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan juga hak asasi manusia.

“Presiden Trump, pengumuman itu tidak sah. Baitulmaqdis itu wilayah yang dijajah. Kamu tak patut pijak kaki langsung di Baitulmaqdis dan tak patut jadikan (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara Israel.

“Ingat kata-kata saya ini, Trump. Kami datang sini bukan nak buat masalah. Tapi kami nak pastikan orang paling berkuasa dalam dunia ini menghormati undang-undang antarabangsa, dan kamu patut hentikan penghinaan terhadap bukan sahaja orang Islam, tapi semua penduduk dunia yang mahukan keadilan, keselamatan dan kebebasan negara Palestin,” kata Khairy di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat hari ini selepas menyerahkan memorandum bantahan tindakan Trump itu.

Khairy berkata pengumuman Trump itu tidak boleh diterima dan bantahan bantahan bukan sahaja datang daripada Pemuda Umno, tetapi juga oleh Pemuda PAS yang turut hadir sama.

“Saya baru masuk kedutaan (AS) dan serahkan memorandum bagi pihak Pemuda Umno. Saya beritahu mereka (kedutaan) tindakan (Trump) itu melampau dan tak boleh diterima.

“Kami tak akan berhenti sampai tanah Palestin dipulangkan kembali kepada rakyat Palestin,” tambahnya.

Antara yang disebut dalam memorandum itu, Pemuda Umno menggesa AS menarik balik kenyataan berhubung isu Baitulmaqdis itu dengan serta merta.

“Tuntutan yang tak boleh dirunding ini dibuat atas semangat setiakawan dengan masyarakat antarabangsa termasuklah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan kerajaan Turki, Perancis, United Kingdom, German dan Timur Tengah,” kata memorandum itu.

Lebih kurang seribu orang hadir dalam protes itu termasuklah Pemuda Bersatu (Armada) dan kumpulan masyarakat awam seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Protes jam dua petang itu bermula dengan berkumpul di bangunan Tabung Haji sebelum berarak menuju Kedutaan AS.

Pemimpin PAS yang kelihatan dalam protes itu ialah Ketua Pemuda PAS Mohd Khalil Abdul Hadi dan Naib Presiden PAS Idris Ahmad, selain Ketua Armada Syed Saddiq Abdul Rahman.

Pada Rabu, Trump mengumumkan AS mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel, menyatakan ia “permulaan pendekatan baharu kepada konflik antara Israel dan Palestin”.

Beliau juga mengarahkan Jabatan Negeri AS memulakan persediaan untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv.

Semalam, Perdana Menteri Najib Razak dalam ucapannya membantah tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis secara rasmi sebagai ibu negara Israel.           

Najib berkata Malaysia “menolak sekeras-kerasnya tindakan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.”  

Beliau yang juga presiden Umno berkata cadangan Amerika Syarikat itu amat mengejutkan dan tidak mungkin diterima oleh umat Islam kerana ia adalah antara tiga tempat suci Islam selain Mekah dan Madinah.

Selain itu Kesatuan Eropah (EU), termasuk Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan tindakan kontroversi Trump itu.

Wakil misi Perancis di PBB Aymeric Chuzeville menerusi Twitter berkata, Perancis, bersama dengan Bolivia, Mesir, Itali, Senegal, Sweden, United Kingdom dan Uruguay, meminta diadakan mesyuarat tergempar.

Sementara itu, Ketua Diplomatik EU Federica Mogherini berkata, tindakan Trump itu sebagai langkah terkebelakang. – 8 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen