TIDAK ada petunjuk jelas yang Barisan Nasional kembali meraih sokongan pengundi Cina walaupun prestasi cemerlang blok politik itu dalam pilihan raya kecil yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kata penganalisis.
Presiden MCA Wee Ka Siong dalam satu wawancara bersama Mingguan Malaysia semalam berkata parti komponen BN itu sudah mula kembali meraih sokongan pengundi Cina.
Keyakinan itu berdasarkan kejayaan BN pada PRK Tanjung Piai dan Slim apabila blok itu berjaya mendapat lebih undi termasuk daripada pengundi Cina berbanding prestasinya pada PRU14 lepas.
Tetapi, Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata walaupun wujud petanda ada sokongan, masih terlalu awal untuk mengesahkan kebenaran pernyataan itu.
Menurutnya, berdasarkan sentimen akar umbi pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang sedang berlangsung, pengundi Cina di sana masih dilihat cenderung menyokong Warisan Plus.
DAP yang merupakan komponen Warisan Plus lebih berpotensi menang kerusi majoriti pengundi Cina pada PRN Sabah, katanya.
Bagaimanapun, di Semenanjung, beliau mengakui ada petanda yang pengundi Cina mula kembali kepada BN tetapi situasi itu terpencil dan dipengaruhi situasi tertentu.
“Ada petunjuk bermula di PRK Tanjung Piai sehingga PRK Slim yang menunjukkan kembalinya pengundi Cina (kepada BN). Tetapi bagi saya, ia hanya bersifat sementara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kejayaan PRK tidak boleh dijadikan tanda aras untuk meramal atau mengukur sokongan pada PRU kerana faktor pilihan pengundi mungkin berubah.

Pada PRK, pengundi cenderung memilih berdasarkan isu semasa ketika itu, tetapi pada PRU, mereka selalunya melihat gambaran lebih besar dan mempertimbangkan pelbagai isu berkaitan ekonomi, kata Yusri.
Pada PRK Tanjung Piai diadakan November tahun lepas, pengundi Cina menggunaka kotak undi untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dengan cara Pakatan Harapan menangani pelbagai isu seperti pengenalan tulisan khat Jawi kepada pelajar Tahun 4, tambahnya lagi.
Yusri juga menjelaskan yang pengundi Cina Tanjung Piai juga menggunakan PRK itu untuk meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara PH menangani isu pembiayaan Universiti Tunku Abdul Rahman, yang walaupun dikawal MCA, banyak membantu pelajar Cina keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Tetapi, pada masa sekarang, wujud beberapa isu penting termasuklah kontroversi tanah durian di Raub dan cara kerajaan Pahang mengendalikan isu itu akan menentukan sokongan pengundi Cina kepada MCA dan BN, kata Yusri lagi.
“Kerajaan Pahang mengambil pendekatan lembut dengan pekebun durian yang akan memberikan harapan kepada masyarakat Cina yang mereka masih boleh bekerjasama dengan BN,” katanya.
Satu lagi isu yang dalam perhatian pengundi Cina adalah pertuduhan rasuah dihadapi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang boleh meraih simpati komuniti itu sekiranya ia dilihat sebagai bermotifkan politik.
Pertuduhan rasuah terhadap Lim, antara lainnya, termasuklah dakwaan melupuskan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.75 juta secara curang kepada syarikat berkaitan dengan projek terowong dasar laut ketika mentadbir negeri itu.

Penganalisis politik bebas Khoo Kay Peng juga bersetuju yang kemenangan BN di PRK serta sokongan pengundi Cina yang tinggi adalah kejadian “terpencil” dan bukanlah petunjuk baik kepada situasi pilihan raya negeri atau umum.
“Dengan ketidaktentuan politik semasa, pengundi Cina akan mengundi secara bertaktik bagi memastikan pilihan mereka menyumbang kepada kepentingan mereka.
“Tidak ada petunjuk kuat yang pengundi Cina kembali bermesra dengan BN, yang disertai MCA,” kata Khoo.
Tambahnya, sekutu MCA- Umno dan Bersatu- juga tidak menunjukkan pendekatan mesra yang boleh diterima pengundi Cina kerana retorik kaum dan agama yang dimainkan kedua-dua parti itu.
“Jadi, ia adalah soal pilih siapa yang kurang teruk,” katanya.

Ahli sains politik Wong Chin Huat berkata keputusan PRN Sabah akan memberikan petunjuk lebih baik sama ada keyakinan Wee berasas.
“Malaysia berbeza sepenuhnya sebelum dan selepas rampasan kuasa Februari lalu. Kita hanya ada Slim (PRK selepas perubahan kerajaan).
“Kita akan ada jawapan lebih baik selepas Sabah untuk tengok sama ada penilaian Wee berasaskan fakta atau angan-angan,” katanya, merujuk kepada kejatuhan PH pada Februari lalu dan kerajaan Perikatan Nasional dibentuk.
PRK Tanjung Piai sebelum perubahan kerajaan dan untuk buat kesimpulan kembalinya sokongan kepada BN seolah-olah menggunakan maklumat lapuk untuk buat keputusan sekarang, katanya lagi.
Tambahnya, PRK Slim yang diadakan bulan lepas juga tidak memberikan asas penilaian tepat kerana pilihan yang ada adalah antara calon Bebas setia kepada Dr Mahathir Mohamad dan calon Umno.
Di Slim, calon BN daripada Umno Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi, mengalahkan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S Santharasekaran, 44, masing-masing memperolehi 2,115 dan 276 undi.
Sementara di PRK Tanjung Piai, calon BN daripada MCA Wee Jeck Seng meraih 15,086 undi dalam pertandingan enam penjuru. – 21 September, 2020.
Komen