MCA selama ini jadi mangsa politik kebencian DAP tetapi pengundi masyarakat Cina sudah mula sedar wajah sebenar Pakatan Harapan (PH), kata presidennya Wee Ka Siong,
Katanya, pengundi kaum Cina sudah mula kembali menyokong Barisan Nasional tetapi usaha untuk mengembalikan sokongan itu akan mengambil masa lama.
Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, beliau menjelaskan pola sokongan pengundi kaum Cina yang beralih semua kepada BN dengan memberi contoh pilihan raya kecil (PRK)
“Saya ambil contoh PRK Tanjung Piai yang mana calonnya daripada MCA mewakili BN menang dengan majoriti besar 15,086 undi dalam pertembungan enam penjuru.
“Terbaru di PRK DUN Slim, calon BN menang besar dengan majoriti 10,945 undi berbanding kurang 3,000 pada PRU14.
“Meneliti keputusan mengikut pusat daerah mengundi (PDM), kita dapat lihat pengundi Cina secara total kembali sokong BN,” katanya seperti dipetik oleh Mingguan Malaysia.
Wee yang mengambil alih kepimpinan MCA pada November 2018 sedang berusaha membangunkan semula parti itu selepas kalah teruk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 hampir enam bulan sebelumnya.
Dalam PRU14, MCA hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen yang ditandinginya serta dua daripada 90 kerusi negeri.
Ia menambah satu lagi kerusi Parlimen yang dimenanginya melalui PRK Tanjung Piai pada November 2019.
Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam turut berkata, pendekatan MCA yang sederhana dan tidak ekstrem menyebabkan ia kurang mendapat perhatian umum berbanding parti lain seperti DAP.
“Masa DAP pembangkang mereka mempamerkan politik kebencian dan fitnah. Masih segar dalam ingatan saya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng label kilang Lynas sebagai loji nuklear.
“Ada pemimpin PH buat video memasak menggunakan bahan bahan tercemar kononnya disebabkan Lynas,” tambah beliau.
Tetapi apabila menjadi kerajaan aktiviti Lynas terus dijalankan yang menjadi bukti, kenyataan pemimpin PH berhubung isu itu hanya untuk meraih undi, jelasnya. – 20 September, 2020.
Komen