Guan Eng dituduh lupus tanah kerajaan RM208.7 juta secara curang


Zaim Ibrahim

Seorang penyokong Lim Guan Eng di luar bangunan Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight, 11 September, 2020.

BEKAS ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didakwa dengan satu lagi pertuduhan baharu hari ini dengan tuduhan melupuskan harta tanah kerajaan bernilai lebih RM208.7 juta secara curang kepada dua syarikat.

Beliau meminta dibicarakan bagi kesalahan melupuskan tanah kerajaan di Bandar Tanjong Pinang di Daerah Timor Laut itu yang didakwa berlaku pada 17 Februari 2015 itu.

Satu daripada dua bidang tanah tersebut yang bernilai lebih RM135 juta didakwa dilupuskan kepada  syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd dan sebidang lagi bernilai lebih RM73.7 juta didakwa dilupus kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Pendakwaan di Mahkamah Sesyen Butterworth itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun maksimum, sebat dan denda.

Beliau sebelum itu tiba di Mahkamah Butterworth pada kira-kira jam 10:40 pagi ditemani bapanya, Lim Kit Siang, isterinya, Betty Chew dan peguam Gobind Singh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin, Francine Cheryl Rajendram dan S. Selvaranjini.

Guan Eng  diwakili barisan peguam Gobind Sing Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan Sivanesan Achalingam.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan beserta seorang penjamin.

Ia merupakan pertuduhan keempat ke atas Lim semenjak selepas beliau tidak lagi menjadi menteri kewangan apabila Pakatan Harapan hilang kuasa di Putrajaya.

Pada 7 Ogos, Lim ke mahkamah sama untuk tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan projek jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Pada 10 Ogos lepas, Lim juga di mahkamah sama dituduh meminta suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek RM6.3 bilion itu.

Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Manakala pada 11 Ogos, Lim kembali ke mahkamah sama bagi tuduhan mendapatkan rasuah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng. – 11 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen