BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng menyelar “menteri pengkhianat” yang kini mendakwa tidak tahu mengenai projek rundingan terus yang diluluskan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Katanya, dakwaan berkenaan menunujkkan menteri itu sama ada tidak menjalankan tanggungjawab atau hanya sibuk membuat percaturan untuk menumbangkan kerajaan sendiri.
“Sama ada menteri pengkhianat ini bohong, tidur dalam Kabinet atau terlalu sibuk mengaturkan Langkah Sheraton hanya mereka yang tahu,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin yang mendakwa tidak tahu mengenai projek runding terus lebih RM170 juta di kementerian itu.
Zafrul semalam mendedahkan, projek berkenaan dianugerahkan semasa Zuraida menjadi menteri di kementerian sama dalam Kabinet PH.
Mengulas lanjut, Lim berkata pendedahan Zafrul itu juga menunjukkan para “menteri pengkhianat” termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta projek rundingan terus.
Katanya, Zafrul menyenaraikan bahawa Muhyiddin memohon projek bernilai RM517.7 juta semasa mengetuai kementerian dalam negeri secara rundingan terus.
Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali, yang sebelum ini menjadi menteri hal ehwal ekonomi pula menurut Zafrul memohon RM1.2 juta secara rundingan terus, katanya.
Seorang lagi yang “menteri pengkhianat”, Rina Harun yang sebelum ini menteri luar bandar memohon projek RM7.36 juta secara rundingan terus, kata Lim.
Ketika ditanya mengenai penafian Zuraida hari ini, Lim berkata biarlah pemimpin itu selesaikan dengan Zafrul yang mendedahkan senarai itu.
Manakala ditanya mengenai projek rundingan terus bernilai RM 1.2 juta di bawah kementerian Azmin, Lim berkata itu merupakan kesilapannya kerana “mempercayai orang yang salah.”
Zafrul mendedahkan senarai 101 projek tersebut selepas dicabar oleh pemimpin PH.
Sebahagian besar daripada projek tersebut bagaimanapun didapati diluluskan semasa pentadbiran BN dan terpaksa diteruskan kerajaan PH, kata Lim. – 27 Ogos, 2020.
Komen
Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan