Zuraida dakwa tidak tahu kontrak rundingan terus kementeriannya


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberi jaminan pihaknya akan melakukan siasatan membabitkan isu pemberian projek secara rundingan terus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

ZURAIDA Kamaruddin mendakwa tidak tahu menahu mengenai kontrak bernilai RM170.8 juta  yang diberikan secara rundingan terus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Zuraida yang menjadi menterinya pada masa itu kekal di kementerian sama selepas Putrajaya diambil alih oleh gabungan baharu Perikatan Nasional susulan percaturan politik pada hujung Februari lalu.

Katanya, perkara itu akan disiasat.

“Ingin saya tegaskan dua projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat di luar pengetahuan saya.

“Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perolehan rundingan terus di KPKT melibatkan kontrak perkhidmatan penyelenggaran sistem kewangan dan perakaunan Saga bernilai RM501,206.37 yang diberikan kepada Century Software (M) Sdn Bhd.

Projek kedua ialah cadangan membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, di Kepong, Kuala Lumpur yang diberikan kepada Bumi Segar Indah Sdn Bhd. Kontrak itu bernilai RM170,294,400.

Kontrak itu kemudian diagihkan kepada Widad Group Bhd melalui anak syarikatnya Widad Builders Sdn Bhd dengan nilai RM120.03 juta.

Zuraida sebelum ini mendakwa projek yang diluluskan secara rundingan terus semasa pentadbiran PH tidak pernah dibentangkan ke Kabinet, dan kerana itu beliau tidak tahu mengenainya selepas ia dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Isnin berkata sebanyak 101 projek dengan nilai perolehan RM6.61 bilion diberi secara rundingan terus semasa PH jadi kerajaan.

Susulan itu, beliau didesak oleh pelbagai pihak terutamanya pimpinan PH untuk menyenaraikan semua projek berkenaan, yang kemudian diumumkan melalui satu kenyataan media, semalam. 

Di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 dan pekeliling perbendaharaan berkaitan, perolehan secara rundingan terus dibenarkan atas beberapa sebab serta mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Kelulusan Kementerian Kewangan itu pula difahamkan akan dipohon oleh menteri yang berkenaan. – 27 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen