PROJEK rundingan terus dianugerahkan kerajaan terdahulu berjumlah RM352 juta dan bukan RM6.61 bilion seperti didakwa Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata sebahagian besar daripada projek RM6.61 bilion didedahkan menteri itu juga adalah projek yang diwarisi dari pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Namun projek yang terpaksa diteruskan oleh pentadbiran itu dikurangkan kos untuk menghasilkan penjimatan, katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.
“Yang pertama kebanyakan projek rundingan terus bukan inisiatif baru daripada PH tetapi adalah projek yang diwarisi atau sambungan dari zaman BN.
“Bezanya PH meneruskan projek ini dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan yang ketara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau juga menjelaskan, antara projek besar diluluskan PH daripada jumlah RM352 juta itu pula melibatkan kontrak bawah portfolio diketuai menteri yang mengkhianati gabungan kerajaan itu.
Lim menggariskan dua projek bawah kementerian kerajaan tempatan bawah Zuraida Kamaruddin, salah seorang menteri yang keluar PKR menyebabkan kerajaan PH runtuh.
Salah satunya projek stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Jinjang Utara kepada Bumi Segar Indah Sdn Bhd bernilai lebih RM170,000,000.
Satu lagi adalah projek penyelenggaran sistem kewangan dan perakaunan Saga bernilai lebih RM500,000 yang diberikan kepada Century Software (M) Sdn Bhd.
Zuraida terdahulu hari ini mendakwa projek tersebut tidak tahu menahu mengenai projek berkenaan.
Seorang lagi bekas menteri PH Saifuddin Nasution Ismail pula dalam sidang media sama menyelar Zuraida kerana mendakwa tidak tahu menahu mengenai projek berkenaan.
Bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu berkata, ia jelas menunjukkan Zuraida tersebut tidak menjalankan tanggungjawab.
Sedangkan beliau sendiri dapat mengesahkan projek runding terus RM160 juta bawah kementeriannya kepada syarikat AirAsia untuk promosi beli barangan tempatan, kata Saifuddin.
“Jumlah bawah KPKT adalah RM170 juta projek sampah diberi kepada syarikat Bumi Segar dan kemudian diberi subsidiarinya sebanyak RM 120 juta dan Zuraida buat kenyataan tak tahu menahu.
“Saya tahu RM160 juta itu dalam pengetahuan saya. Kalau RM170 juta tidak ada dalam pengetahuan Zuraida memang sah dia tidur,” kata setiausaha agung PKR itu.
Selain itu bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu turut mempertahankan projek rundingan terus yang diluluskan semasa memegang jawatan itu.
Beliau berkata kontrak RM222.87 juta untuk menyelenggara pesawat tentera udara itu kepada syarikat Airbus Military Sociedad Limitada, Sepanyol itu lanjutan dari kerajaan terdahulu.
“Memang menyelenggara bagi kementerian pertahanan seperti (pesawat) Airbus itu agak tinggi nilainya.
“Tapi harga tender itu tidak berapa betul. Sebab penyelengaraan RM6 bilion itu dari penyambungan pada kerajaan terdahulu,” katanya.
Senarai projek rundingan terus itu didedahkan Zafrul semalam.
Senarai itu didedahkan susulan pertikaian antara ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan PH mengenai perolehan membabitkan wang pembayar cukai.
Pendedahan PN mengenai 101 rundingan projek itu juga untuk mencabar PH yang sering mendakwa pentadbirannya lebih bersih kerana melaksanakan sistem tender terbuka. – 27 Ogos, 2020.
Komen