Menteri kewangan dedah senarai 101 projek runding terus Pakatan


The Malaysian Insight

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini mendedahkan senarai 101 projek perolehan secara rundingan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

KONTRAK menaiktaraf landasan berkembar Lembah Klang merupakan projek termahal yang diberikan secara rundingan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Projek bernilai RM4.475 bilion itu dianugerahkan kepada Daya Maju LTAT oleh Kementerian Pengangkutan.

Ia merupakan antara 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang didedahkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Senarai itu didedahkan susulan pertikaian antara ahli Parlimen Perikatan dan Pakatan mengenai bagaimana projek yang membabitkan wang pembayar cukai diberikan oleh dua kerajaan berbeza.

Pendedahan Perikatan mengenai 101 rundingan projek itu sekaligus mencabar Pakatan yang sering mendakwa pentadbirannya lebih bersih kerana melaksanakan sistem tender terbuka untuk projek kerajaan.

Antara projek lain yang bernilai jutaan ringgit termasuklah:

  • RM270 juta kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd untuk membekalkan muka surat biodata polycarbonate untuk kegunaan Jabatan Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri.
  • RM254.40 juta kepada MyTv Broadcasting Sdn Bhd bagi sewaan multiplexer, infrastruktur dan fasiliti rangkaian siaran TV digital untuk tiga tahun.
  • RM222.87 juta kontrak “in service support for RMAF A400M air craft” daripada Kementerian Pertahanan kepada Airbus Military Sociedad Limitada, Sepanyol.
  • RM204 juta kontrak untuk penyelenggaraan, baik pulih dan pembaikan pesawat Hercules C130 Tentera Udara Diraja Malaysia kepada AIROD Sdn Bhd oleh Kementerian Pertahanan.
  • RM203.20 juta kontrak untuk penyelenggaraan, baik pulih dan pembaikan helikopter Sikorsky 61A-4 (Nuri) Tentera Udara Diraja Malaysia kepada AIROD Sdn Bhd oleh Kementerian Pertahanan.
  • Kontrak bernilai RM170.30 untuk membina, mengendalikan dan menyelenggara stesen pelupusan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur yang diberikan kepada Bumi Segar Indah Sdn Bhd oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
  • RM150.87 juta untuk menyediakan perkhidmatan 1PDRM Net untuk Polis Diraja Malaysia oleh Telekom Malaysia Berhad daripada Kementerian Dalam Negeri.

Semua projek berkenaan adalah di bawah 20 kementerian dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan oleh ahli politik dari kerajaan Perikatan kini. Projek landasan berkembar Kementerian Pengangkutan merupakan antara empat yang menjadikan jumlah rundingan terus keseluruhan kepada RM4.477 bilion.

Perbelanjaan kedua tertinggi adalah Kementerian Pertahanan iaitu sebanyak RM900.86 juta untuk enam kontrak diikuti Kementerian Dalam Negeri sebanyak RM517.68 juta.

Kementerian Komunikasi dan Mutimedia memberi 12 kontrak tanpa rundingan terbuka bernilai RM380.12 juta manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberikan dua projek bernilai RM170.79 juta.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memberi kontrak secara rundingan terus paling banyak iaitu 13 projek bernilai RM5.67 juta. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen