Kami penyelamat bukan pengkhianat, kata Hamzah


Chan Kok Leong

Kami penyelamat bukan pengkhianat, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Ogos, 2020.

MEREKA yang beralih arah sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya diangkat sebagai penyelamat bukannya pengkhianat, kata Hamzah Zainuddin.

“Kami dapat kuasa melalui pilihan raya. Tetapi selepas PRU14, kami (Barisan Nasional) kalah dan orang lain menang,” kata menteri dalam negeri itu pada ceramah di Felda Trolak Utara, Perak, malam tadi.

“Bila orang lain menang, kami terpaksa berkorban untuk dapat balik kuasa. Tetapi siapa yang patut berkorban? Tugas itu jatuh kepada sebilangan kita bagi memastikan kita dapat berkuasa balik.

“Kerana itu, kita perlu angkat mereka yang berkorban sebagai penyelamat. Mereka bukan pengkhianat tetapi penyelamat.

“Kerana itu, kita tak boleh dengki atau cemburu dan melayan mereka yang berkorban dengan ikhlas dan jujur,” kata setiausaha agung Bersatu itu.

Hamzah berkata demikian pada “Ceramah 5 setiausaha agung” dalam kempen Pilihan Raya Kecil Slim, malam tadi.

Turut hadir ceramah itu ialah Setiausaha Agung BN (Annuar Musa), Takiyuddin Hassan (PAS), Chong Sing Woon (MCA) dan M Asojan (MIC).

Hamzah yang menang kerusi Larut menggunakan tiket BN, adalah salah seorang daripada 15 orang ahli Parlimen Umno yang berpaling tadah kepada Bersatu antara 2018 dan 2019.

Kumpulan itu kemudiannya disertai kumpulan 10 bekas wakil rakyat PKR diketuai bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali. Gabungan itu kemudiannya membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan menyebabkan kejatuhannya setelah 22 bulan berkuasa di Putrajaya.

Ceramah 5 setiausaha agung di Felda Trolak Utara, Slim malam tadi dihadiri ramai ahli Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Ogos, 2020.

Malam tadi adalah kali pertama Hamzah atau pemimpin kanan Bersatu muncul pada kempen PRK Slim yang bermula sejak 15 Ogos lalu.

Kerusi itu direbut Mohd Zaidi Aziz (Umno), calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Segaran Subramaniam.

Walaupun Hamzah pertama kali bercakap pada kempen PRK Slim malam tadi, majlis dihadiri ramai ahli Bersatu diketuai Ketua Wanita Rina Harun dan seorang lagi bekas wakil rakyat Umno, Noor Azmi Ghazali.

Noor Azmi yang kini timbalan menteri kesihatan adalah ahli Parlimen Umno pertama yang keluar parti pada 2018 untuk menyertai Bersatu.

Tidak seperti ceramah sebelum ini yang dihadiri antara lain bekas presiden Umno Najib Razak, majlis malam tadi tidak ramai dihadiri ahli Umno.

Selain kehadiran ramai ahli Bersatu- yang sebelum ini tidak dapat dikesan ketika proses kempen lain- turut hadir majlis malam tadi adalah penyokong BN daripada MCA dan MIC. – 23 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen