PUTRAJAYA perlu menanggung sepenuhnya kos bagi mereka yang pulang dari luar negara dan perlu diletakkan di bawah tempoh kuarantin wajib selama 14 hari bagi membendung rantaian jangkitan Covid-19, kata kumpulan pengguna.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa pilihan lain adalah menempatkan orang yang disyaki (PUI) di pusat-pusat kuarantin dengan kemudahan lengkap dan bukannya di hotel-hotel mewah.
Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Paul Selvaraj berkata kerajaan tidak sepatutnya mengenakan bayaran kepada rakyat Malaysia untuk kemudahan asas kuarantin.
“Bukan salah mereka atas apa yang berlaku, jadi kerajaan perlu menanggung sepenuhnya.
“Kerajaan yang memutuskan di mana mereka akan ditempatkan, sama ada di hotel atau pusat kuarantin, jadi mereka perlu menanggung kos berkenaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Selvaraj berkata demikian selepas Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu membayar RM2,100 untuk makanan dan penginapan selama 14 hari untuk tinggal di pusat kuarantin. Kerajaan akan mensubsidi baki kos sebanyak RM2,600.
Ismail semalam turut memberi amaran bahawa mereka yang enggan membayar kos kuarantin akan dikenakan denda RM1,000 dan tindakan undang-undang.
Selvaraj berkata walaupun kerajaan memberi subsidi sebanyak RM2,600, jumalahnya masih tinggi.
“Tetapi membayar lebih dari 40% iaitu RM2,100 masih cukup tinggi kerana itu bukan kesalahan mereka untuk pulang ke sini. Mereka hanya menjadi mangsa keadaan.
“Ini hanya akan membebankan mereka yang pulang yang kemungkinan besar juga hilang pekerjaan,” katanya.
Selvaraj bagaimanapun berkata jika mereka mahukan hotel atau kemudahan yang lebih baik yang tidak disediakan oleh kerajaan, mereka perlu menanggung kosnya.
“Kerajaan sudah menyediakan pusat kuarantin, jadi apa-apa tambahan, mereka (yang pulang) perlu membayarnya,” katanya.
Menteri Tugas-Tugas Khas Mohd Redzuan Md Yusof memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa Putrajaya sudah membelanjakan hampir RM116 juta untuk menempatkan 104,467 PUI di 322 pusat kuarantin Covid-19 sejak wabak itu melanda.
Sehingga 24 Julai, kos penggunaan hotel dan institusi latihan untuk kuarantin PUI adalah RM115.9 juta dengan RM49.6 juta untuk hotel.

Tiada hotel untuk mereka yang kembali dari luar negara
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader juga bersetuju bahawa kos sebanyak RM2,100 yang perlu ditanggung oleh mereka yang kembali dari luar negara terlalu tinggi.
“Untuk mengurangkan kos, mereka semua perlu ditempatkan di pusat kuarantin dengan kemudahan penuh dan bukannya ditempatkan di hotel mewah.
“Kosnya dapat dikurangkan dan kerajaan dapat membayar sepenuhnya kos untuk mereka pulang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata daripada memberi subsidi sebanyak RM2,600, kerajaan boleh menggunakan jumlah itu untuk menanggung kos kepulangan mereka sepenuhnya.
“Mereka tidak memerlukan layanan lima bintang. Jika mereka mahukan perkhidmatan itu, mereka harus membayar keseluruhannya,” katanya.
Mohideen juga mencadangkan agar kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan gelang pemantauan elektronik.
Ini katanya akan membolehkan mereka yang kembali dari luar negara dapat menjalani kuarantin di rumah dan mengurangkan kos.
“Mereka boleh pulang jika dipantau sebaiknya dengan gelang tangan.
“Sekiranya melanggar undang-undang maka pihak berwajib akan mengambil tindakan,” katanya.
Dua ahli Parlimen Johor juga mendesak kerajaan untuk menanggung kos kuarantin dan rawatan pekerja Malaysia yang ingin pulang dari Singapura.
Ahli Parlimen Johor Akmal Nasir berkata mereka adalah rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura setelah diberhentikan kerja susulan penutupan sempadan kerana wabak Covid-19 pada 18 Mac.
Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub juga mempersoalkan mengapa kerajaan Sarawak boleh menampung kos kuarantin untuk penduduknya tetapi kerajaan persekutuan tidak dapat melakukannya untuk rakyat Malaysia yang memasuki Semenanjung.
Kedua-dua ahli Parlimen itu berkata bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura kebanyakannya berasal daripada golongan berpendapatan rendah. – 5 Ogos, 2020.
Komen