RM116 juta dibelanja untuk pusat kuarantin, kata menteri


Chan Kok Leong

Setakat 24 Julai, kos penggunaan hotel dan institut latihan untuk mengkuarantinkan orang dalam siasatan ialah RM115.9 juta dengan RM49.6 untuk hotel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

PUTRAJAYA setakat ini berbelanja sehingga RM115.9 juta untuk menempatkan 104,467 orang dalam siasatan di 322 pusat kuarantin Covid-19 di seluruh negara, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Mohd Redzuan Md Yusof.

“Setakat 24 Julai, kos penggunaan hotel dan institut latihan untuk mengkuarantinkan orang dalam siasatan ialah RM115.9 juta dengan RM49.6 untuk hotel.

“Bakinya (RM66.3 juta) dibelanjakan untuk pusat latihan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Redzuan menjawab soalan Ahli Parlimen Sim Chee Keong (Bukit Mertajam-PH) yang meminta menteri menyatakan kos dan senarai kontrak yang melibatkan pusat kuarantin.

“Di hotel, kos RM150 seorang untuk sehari termasuk makanan dan perkhidmatan lain.

“Pilihan pembekal makanan untuk mereka yang ditempatkan di pusat latihan dikendalikan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau menambah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah membayar RM2.12 juta kepada 21 pembekal makanan.

Redzuan berkata beliau akan menyediakan senarai semua pembekal makanan dan kontraktor terlibat dalam jawapan bertulis.

Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac, mereka yang kembali dari luar negara diasingkan di hotel dan pusat latihan bagi membendung penularan Covid-19.

Menurut Redzuan, kos mengendalikan orang dalam siasatan di hotel lebih rendah berbanding menempatkan mereka di pusat latihan.

“Kos mengendalikan seorang di pusat latihan ialah RM4,700 sementara di hotel RM4,100,” katanya. – 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen