Denda RM1,000, tindakan mahkamah jika gagal bayar caj kuarantin, kata menteri


Noel Achariam

Rakyat Malaysia yang balik dari luar negara perlu menyelesaikan bayaran kuarantin sebanyak RM150 sehari dalam masa 14 hari berada di Institut Latihan Awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2020.

RAKYAT Malaysia yang kembali dari luar negara dan gagal membayar kos bagi kuarantin wajib selama 14 hari akan dikenakan denda dan tindakan undang-undang, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri pertahanan berkata mereka perlu menyelesaikan bayaran kuarantin sebanyak RM150 sehari dalam masa 14 hari di Institut Latihan Awam (ILA).

“Jika gagal, mereka akan dikenakan denda sebanyak RM1,000 dan tindakan mahkamah (diambil terhadap mereka),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, bayaran kuarantin di pusat, hotel atau ILA adalah sama.

“Bagi individu yang enggan menandatangani LoU (perjanjian pembayaran), mereka akan dihantar ke ILA terlebih dahulu.

“Oleh kerana ILA dimiliki kerajaan, individu ini akan diberikan asrama tanpa bayaran pendahuluan atau deposit.

“Ini untuk mengelakkan mereka terdedah kepada umum.”

Beliau berkata sejak 24 Julai hingga 3 Ogos, seramai 5,281 individu kembali ke negara ini melalui sempadan antarabangsa.

“Kesemuanya ditempatkan di 21 hotel dan lima ILA di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor.

“Daripada jumlah itu, 13 individu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.”

Katanya, selain pemegang kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya pelajar daripada keluarga B40 boleh memohon pengecualian daripada pembayaran kos kuarantin.

Ismail Sabri juga menambah polis mengambil tindakan terhadap 80 individu kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard kuarantin di rumah yang ditetapkan.

Semalam, polis menjalankan 2,078 pemeriksaan ke atas individu yang menjalani kuarantin di rumah.

Beliau berkata polis bersama kakitangan Kementerian Kesihatan akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu untuk memastikan SOP dipatuhi. – 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen