Pandikar tak peduli dengan pandangan ketua menteri Sarawak


Noel Achariam

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia bersedia untuk berdebat dengan Abang Johari mengenai Perjanjian Malaysia 1963, selain menambah debat itu tidak akan mengubah apa-apa jika ketua menteri itu tak bersetuju dengannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 November, 2017.

SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia hari ini membalas balik tuduhan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg yang merendahkan pandangannya berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pandikar berkata, beliau bersedia untuk berdebat dengan Abang Johari mengenai isu itu, selain menambah debat itu tidak akan mengubah apa-apa jika ketua menteri itu tak bersetuju dengannya.

“Kalau Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg tidak setuju dengan pandangan saya, maka saya pun tidak setuju 100% dengan pandangannya,” kata Pandikar.

“Kalau dia tak setuju dengan saya 10 kali, saya tak setuju dengan dia 100 kali.

“Saya dah dengar pandangan Selangor (Mohamed Azmin Ali) dan Pulau Pinang (Lim Guan Eng). Saya dah biasa sangat dengar pandangan semua menteri.

“Jadi, tak ada bezanya bagi saya apa pandangan Ketua Menteri Sarawak itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Semalam The Malaysian Insight melaporkan Abang Johari menyangkal dakwaan Pandikar yang mengatakan MA63 sebagai “tak penting.”

Perkara ini dibangkitkan DAP yang mempersoalkan keputusan ketua menteri dan kerajaan Sarawak untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu MA63.

Ketika pelancaran buku Pandikar “Berpisah Tiada” Isnin lalu, Zahid dipetik sebagai berkata, “walaupun tidak berbentuk empirikal dan bukan bertujuan akademik, tetapi dalam pemerhatian saya niat penulisnya adalah untuk membetulkan persepsi prasangka dan kajian-kajian bias (berat sebelah) yang punyai tujuan tertentu. Ini lah kelebihan dalam buku ‘Berpisah Tiada’ ini.”

Menurut DAP, buku Pandikar itu menolak kenyataan hak sama rata Sabah, Sarawak dengan 11 negeri lain di Semenanjung ketika penubuhan Malaysia.

Pandikar juga menyatakan hak kerajaan negeri tidak pernah terhakis walaupun ketika penggubalan perlembagaan pada 1976 yang meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13.

Pandangan ini dilihat sebagai berlawanan dengan persepsi kebanyakan rakyat Sabah dan Sarawak. 

Pandikar juga menafikan kenyataan bahawa MA63 tidak penting. – 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ada sapa2 disini yg pedulikan si pundekar ni?

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan