KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg menyangkal dakwaan Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia yang berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai “tak penting.”
Perkara ini dibangkitkan DAP yang mempersoalkan keputusan ketua menteri dan kerajaan Sarawak untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu MA63.
Menurut DAP, ketika pelancaran buku Pandikar “Berpisah Tiada” Isnin lalu, Zahid mengesah dan menyokong tafsiran “berat sebelah” Pandikar mengenai MA63.
Zahid dipetik sebagai berkata, “walaupun tidak berbentuk empirikal dan bukan bertujuan akademik, tetapi dalam pemerhatian saya niat penulisnya adalah untuk membetulkan persepsi prasangka dan kajian-kajian bias (berat sebelah) yang punyai tujuan tertentu. Ini lah kelebihan dalam buku ‘Berpisah Tiada’ ini.”
Kata DAP, buku Pandikar itu menolak kenyataan hak sama rata Sabah, Sarawak dan 11 negeri lain di Semenanjung ketika penubuhan Malaysia.
Beliau juga menyatakan hak kerajaan negeri tidak pernah terhakis walaupun ketika penggubalan perlembagaan pada 1976 yang meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri ke-12 dan ke-13.
Pandangan ini dilihat sebagai berlawanan dengan persepsi kebanyakan rakyat Sabah dan Sarawak.
Pandikar juga telah menimbulkan kemarahan penyokong hak-hak Sabah dan Sarawak apabila beliau menafikan hak Sabah tidak dilaksanakan sepenuhnya di bawah MA63 di Kota Kinabalu dua minggu lepas.
Beliau juga berkata, dokumen perlembagaan yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia, seperti Perjanjian 20 Perkara Sabah dan Laporan Suruhanjaya Cobbold sebagai “tidak sah.”
“Dokumen ini mengandungi cadangan (pembentukan Malaysia) dan rundingan daripada pelbagai mesyuarat pada waktu itu. Ia bukanlah perjanjian yang sah,” Pandikar dipetik sebagai berkata.
“Saya mohon berbeza pendapat dengan Pandikar Amin tentang MA63,” kata Abang Johari.
“Saya fikir apa yang sebenarnya berlaku anda tidak boleh sifatkan MA63 sebagai tidak penting.
“(MA63) adalah dokumen yang amat penting di mana hak wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah asas MA63,” katanya.
DAP berkata, pengesahan Zahid terhadap tafsiran “berat sebelah” Pandikar mengenai MA63 itu membuktikan niat sebenar Barisan Nasional (BN).
“Ini menimbulkan persoalan niat kerajaan Sarawak untuk berunding dengan timbalan perdana menteri dan Putrajaya yang jelas tidak berminat untuk mengiktiraf status sah kami selain memperakui hak-hak kami yang telah dirampas kerajaan persekutuan,” kata DAP dalam satu kenyataan.
Parti pembangkang itu berkata Putrajaya mempunyai kuasa menentukan sama ada mereka mahu memperbetulkan atau tidak.
“Semua janji Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan BN untuk mengiktiraf hak kami dan kononnya mahu mengembalikan hak kami jelas hanyalah retorik untuk menarik undi semata-mata.” – 29 November, 2017.
Komen