Permohonan injunksi Dr Mahathir terhadap Muhyiddin didengar minggu depan, kata peguam


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membantah keputusan langkah politik Muhyiddin Yassin dengan menyifatkannya tidak mendapat mandat pimpinan tinggi parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur minggu depan akan mendengar permohonan Dr Mahathir Mohamad dan enam yang lain untuk mendapatkan perintah injunksi sementara terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Permohonan itu akan didengar pada Khamis, 18 Jun, kata peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdullah.

“Pada petang ini, kami telah memperolehi tarikh bicara untuk notis permohonan (injunksi interim) tersebut yang ditetapkan untuk bicara pada hari Khamis, 18 Jun.

“Pejabat kami akan menyerahkan notis permohonan berserta dokumen mahkamah lain kepada empat pihak yang disaman, pada awal minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Haniff berkata pihaknya sudah menyerahkan writ saman dan penyata tuntuan kepada semua defendan hari ini. Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 9 Julai.

Bagaimanapun katanya pihak plaintif mahu permohonan mereka untuk mendapatkan injunksi sementara diputuskan sebelum perbicaraan kes utama.

Minggu lalu, Dr Mahathir dan enam yang lain memfailkan saman terhadap perdana menteri bersama Hamzah Zainuddin, yang dilantik oleh Muhyiddin sebagai setiausaha agung Bersatu.

Saman itu juga menamakan Muhammad Suhaimi Yahya sebagai defendan ketiga, dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS), Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan keempat.

Suhaimi adalah setiausaha kerja Bersatu yang menandatangani surat pemberhentian keahlian terhadap Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen lain. 

Empat ahli Parlimen yang dinamakan sebagai plaintif ialah timbalan presiden Mukhriz Mahathir, ketua sayap pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Maszlee Malik, dan Amiruddin Hamzah.

Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen yang menyokongnya pada 28 Mei lalu diumumkan terhenti keahlian mereka dalam parti kerana didakwa menyertai pembangkang.

Saman juga dikemukakan oleh Marzuki Yahya yang mempertikaikan pemecatannya sebagai setiausaha agung Bersatu.

Mereka berenam turut menyaman Muhyiddin dan tiga defendan lain bagi pihak Bersatu.

Dalam saman itu, mereka memohon perisytiharan mahkamah bahawa keahlian mereka masih sah dan mereka masih memegang jawatan masing-masing, serta layak bertanding dalam pemilihan parti.

Mereka juga meminta mahkamah mengisytiharkan Muhyiddin dan Hamzah bukan lagi ahli Bersatu.

Bersatu kini berpecah dua, antara yang menyokong Muhyiddin dan Dr Mahathir, susulan pendirian parti keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS, serta dukungan parti-parti lain dari komponen Barisan Nasional (BN) serta dari Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir membantah keputusan langkah politik Muhyiddin, dengan menyifatkannya tidak mendapat mandat pimpinan tinggi parti. – 12 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen