Masuk Perikatan selaras dengan matlamat parti, kata MPT Bersatu


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin umum parti keluar dari PH pada 24 Februari, dan pada hari sama juga, Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

MAJLIS Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT) yang bermesyuarat malam tadi mengesahkan langkah Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan membentuk gabungan baharu Perikatan Nasional (PN), kata setiausaha agung parti Hamzah Zainuddin.

Keputusan menyertai PN, yang diketuai oleh Bersatu, adalah selaras dengan “matlamat, tujuan dan dasar parti” , katanya, memaklumkan keputusan mesyuarat MPT Bersatu malam tadi.

“MPT juga mengesahkan bahawa keputusan memuktamadkan penyertaan Bersatu dalam gabungan parti politik baru yang membentuk kerajaan ‘Perikatan Nasional’ yang dipimpin Bersatu adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat yang berlangsung lebih kurang tiga jam di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Mesyuarat MPT Bersatu malam tadi dipercayai yang pertama sejak 23 Februari, ketika ia membincangkan cadangan untuk Bersatu keluar dari PH.

Mesyuarat itu jadi pertikaian antara kem Muhyiddin dan kelompok yang menyokong Dr Mahathir Mohamad, menyebabkan parti terpecah dua berhubung hala tuju politik parti.

Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar dari PH pada 24 Februari, dan pada hari sama juga, Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri.

Pada 1 Mac, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baharu dengan dukungan Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional (BN).

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa ahli Parlimen lain juga menyokong gabungan baharu itu.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata MPT malam tadi mengesahkan langkah Muhyiddin Yassin membawa parti keluar PH selaras dengan dasar parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

Mesyuarat MPT Bersatu malam tadi mengesahkan keputusan politik itu serta semua keputusan lain yang berkaitan, termasuk kedudukan keahlian pengasasnya Dr Mahathir dan mereka yang menentang keputusan itu.

Mesyuarat MPT Bersatu itu mengiktiraf kedudukan Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi parti selepas Dr Mahathir letak jawatan, selaras dengan perlembagaan parti.

Ia juga mengesahkan pemecatan Marzuki Yahya sebagai setiausaha pada 18 Mac lalu, dan pelantikan Hamzah sebagai penggantinya pada 26 Mac.

Sehubungan itu, ia juga mengesahkan setiausaha kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya kekal dan menerima semua surat yang beliau tandatangan, termasuk pemberhentian keahlian Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen yang lain.

Empat ahli Parlimen yang lain itu ialah timbalan presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), ketua sayap pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), ahli MPT Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Mereka diumumkan bukan lagi ahli parti kerana melanggar perlembagaan parti setelah duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

“Tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad,” kata Hamzah.

Kelima-lima ahli Parlimen itu membantah pemberhentian keahlian mereka dengan alasan duduk di blok pembangkang bukan “menyertai pembangkang”, seperti yang disebut dalam perlembagaan parti.

Dalam kenyataannya, Hamzah berkata mesyuarat MPT Bersatu malam tadi “berjalan dengan lancar dan penuh tertib”.

“Dengan pengesahan dan ketetapan yang telah diambil pada mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Namun, malam tadi empat anggota MPT Bersatu dari kem Dr Mahathir bagaimanapun keluar mesyuarat lebih awal kerana tidak puas hati dengan perbincangan mesyuarat.

Mereka ialah bekas setiausaha politik kepada Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya; ketua penerangan Pemuda Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin, serta Tariq Ismail dan Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi.

Menurut Ulya, mereka menolak dua isu: pemberhentian keahlian lima ahli Parlimen Bersatu termasuk Dr Mahathir, dan penyertaan Bersatu dalam PN. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen