LAWATAN Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terhadap Anwar Ibrahim baru-baru ini merupakan “indikator” ketua umum PKR itu merupakan tahanan politik, kata Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Presiden PKR itu berkata, buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, perdana menteri melawat seorang “banduan.”
“Dalam sejarah negara kita, inilah kali pertama PM lawat banduan. Ini indikator bahawa Anwar adalah ‘political prisoner’,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu pada sidang media di Parlimen hari ini.
Dr Wan Azizah mengulas tindakan Dewan Rakyat menolak usul N Surendran (PKR-Padang Serai) untuk membahaskan isu pemenjaraan Anwar.
Pada 17 November lalu, Najib dan Rosmah membuat kejutan apabila melawat Anwar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sehari selepas itu timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi dan isteri turut ke HKL. Ini disusuli dengan lawatan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz.
Dr Wan Azizah berkata, ini merupakan petunjuk Anwar merupakan tahanan politik.
“Kalau tidak kenapa PM, TPM dan menteri Kabinet datang. Setakat sekarang mereka tiga je yang datang,” kata Dr Wan Azizah.
Disebabkan itu, Dr Wan Azizah mengatakan beliau kecewa kerana isu pemenjaraan suaminya itu tidak dibenarkan untuk dibahas dalam Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat hari ini menolak usul untuk membahaskan isu pemenjaraan Anwar yang dibawa Surendran (PKR-Padang Serai).
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ronald Kiandee berkata, usul itu terpaksa ditolak kerana pemenjaraan Anwar sudah diputuskan mahkamah.
Pada sidang media sama Surendran berkata, ahli-ahli Parlimen Asean sudah mengeluarkan kenyataan dua hari lalu mendesak Anwar dibebaskan kerana sabitan beliau bercanggah dengan standard antarabangsa.
“Kalau sudah diputuskan di mahkamah maka bolehlah dibincangkan di Dewan Rakyat.
“Saya tidak faham mengapa jawapan seperti ini, ia satu lagi percubaan untuk menolak usul-usul daripada pihak pembangkang yang kritikal ataupun ‘politically sensitive’ untuk pihak Barisan Nasional (BN),” katanya.
Pada sidang media sama, Charles Santiago (DAP-Klang) menjelaskan, kenyataan itu dikeluarkan ahli-ahli Parlimen Asean dalam retreat di Phuket, Thailand dua hari lalu.
Anwar dipenjarakan pada 2015 selepas mahkamah mendapatinya bersalah kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. – 28 November, 2017.
Komen