Najib, Rosmah lawat Anwar di hospital


Amin Iskandar

Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor melawat Anwar Ibrahim di HKL hari ini.– Gambar Twitter, 17 November, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor melawat Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur petang ini.

Najib memuat naik gambar lawatannya itu ke akaun Twitter rasminya @najibrazak.

“Saya melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur hari ini. 

“Beliau baru selesai menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu. Semoga beliau cepat pulih,” tulis Najib. 

Turut kelihatan dalam gambar dimuat naik Najib itu, ialah ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar.

Anwar selamat menjalani pembedahan di bahu kanan minggu lalu berikutan kecederaan semakin teruk akibat kemalangan September lalu yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara. 

Sebagai reaksi kepada lawatan Najib dan Rosmah, keluarga Anwar diwakili anak lelakinya Muhamad Ihsan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia.

“Perdana Menteri dan isteri sempat menziarahi ayah kami, Anwar Ibrahim yang sekarang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu, yang kecederaannya menjadi semakin parah akibat pemenjaraan dan kemalangan bulan lepas semasa dalam jagaan kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Ihsan berkata, keluarga Anwar memohon supaya kerajaan Malaysia mempertimbangkan agar ayah mereka dibenarkan berada di luar penjara untuk menjalani rawatan.

“Selama mana yang diperlukan untuk sembuh sepenuhnya seperti yang dicadangkan oleh panel doktor yang merawat beliau.

“Bagi pihak keluarga, izinkan saya melahirkan sepenuh penghargaan kepada pasukan pakar perubatan serta staf HKL beserta kakitangan penjara di atas rawatan dan pemulihan buat ayahanda kami,” katanya.

“Saya berharap budi bicara yang ditunjukkan setakat ini turut dipanjangkan kepada permohonan untuk membenarkan ayah kami mendapat rawatan di kemudahan perubatan luar penjara untuk tempoh selama yang mungkin.” – 17 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen