Selepas Najib, Zahid pula lawat Anwar di hospital


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Hamidah Khamis melawat Anwar Ibrahim di hospital hari ini. Turut kelihatan ialah anak Anwar, Nurul Nuha dan Nurul Ilham. – Gambar Twitter, 18 November, 2017.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur hari ini, sehari selepas ketuanya Najib Razak mengunjungi pemimpin pembangkang dipenjarakan yang sedang berehat selepas pembedahan.

Foto lawatan Zahid bersama isteri, Hamidah Khamis di sisi Anwar yang berbaring di katil hospital dimuat naik akaun Twitter Zahid sekitar jam 4.30 petang tadi.

Turut kelihatan dalam foto ialah anak perempuan Anwar, Nurul Nuha dan Nurul Ilham.

Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor melawat Anwar semalam, isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir.

Anak lelaki Anwar, Muhamad Ihsan kemudian mengeluarkan kenyataan berterima kasih kepada perdana menteri atas lawatan itu.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan liwat kali kedua menjalani pembedahan di bahu kanan selepas cedera dalam kemalangan ketika berada dalam kenderaan Jabatan Penjara Malaysia.

Lawatan Najib itu dipandang sinis pengguna Twitter awal hari ini kerana dakwaan dan sabitan liwat itu didakwa penyokong pembangkang dan pengkritik sebagai berunsur politik. – 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • syahdu syahdu

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan