Khaled Nordin pula ajak Bersatu kembali kepada Umno


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dua pemimpin utama Bersatu, pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan presiden Muhyiddin Yassin sebagai "antara putera terbaik yang pernah Umno lahirkan". – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2020.

SEORANG lagi pemimpin kanan Umno mempelawa Bersatu supaya kembali ke parti asalnya, sama seperti PAS yang kini bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional walaupun bermusuhan selama puluhan tahun sebelumnya.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata tiada sebab Umno menutup pintu kepada Bersatu selepas ia berbaik semula dengan PAS, parti yang beliau sifatkan masih mempunyai DNA Umno, “demi Islam, Melayu, dan Malaysia”.

“Jika Umno dan PAS yang saling berseteru puluhan tahun boleh mengetepikan ego masing-masing, lalu kembali bertaut menjadi saudara, masakan Umno akan menutup ruangnya kepada PPBM (Bersatu),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Khaled, Bersatu wajar kembali ke pangkuan Umno demi Malaysia, kesatuan orang Melayu dan kepentingan Islam.

“Marilah kita mencari jalan untuk bertaut semula, seperti sebelumnya, semasa kita semua diikat oleh satu tekad dan kepercayaan untuk berjuang dan menyumbang kepada bangsa teras dan mentadbir tanah air ini sebagai rumah terbaik untuk semua,” tambahnya.

Khaled juga menyifatkan dua pemimpin utama Bersatu, pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan presiden Muhyiddin Yassin sebagai “antara putera terbaik yang pernah Umno lahirkan”. 

Bersatu bagaimanapun kini terbelah dua ekoran langkah Muhyiddin membawa parti itu keluar dari Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baharu bersama Umno dan PAS pada hujung Februari lalu.

Dr Mahathir membantah langkah itu yang didakwanya tidak mendapat mandat pimpinan kanan parti.

Menurut Khaled, dalam menentukan pendirian terhadap Bersatu, Umno wajar bersikap seperti seorang ayah yang sedia berkorban dan melupakan masa lalu agar semua anak-anaknya kembali ke pangkuan.

Memetik nasihat seorang tokoh ulama dunia, Khaled berkata, Umno wajar dilihat seperti sosok “ayah” dalam politik kepartian Malaysia.

Katanya, sama seperti PAS dan Bersatu yang lahir dari Umno, beberapa parti lain juga berasal dari Umno, seperti PKR dan Semangat 46.

“Semuanya dibidani oleh mereka yang dahulunya bersama Umno dan memimpinnya. 

“Maka wajarlah Umno bersikap seperti seorang ayah sekalipun pada ‘anak’ yang telah meninggalkannya, atau yang ingkar padanya, mahupun kepada anak yang pernah ia halau pergi. 

“Resam seorang bapa, biar sedalam mana pun terguris, biar seteruk mana pun diperlakukan, nun jauh di sudut hati, tetap tertanam sekelumit harapan agar anak- anak kembali ke pangkuannya,” katanya.

Sebelum Khalid, sekurang-kurangnya dua pemimpin Umno iaitu bekas setiausaha agung Annuar Musa dan Ahli Majlis Tertinggi, Tajuddin Abdul Rahman pernah membuat seruan sama mengajak Bersatu dan pemimpinnya kembali menyertai Umno.

Pada 9 Mei lalu, dalam mesej video sempena memperingati dua tahun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Mahathir menyeru ahli Bersatu supaya tidak lupa matlamat asal penubuhan parti itu, iaitu untuk menggantikan Umno sebagai sebuah wadah politik untuk Melayu dan Bumiputera.

Bersatu, yang ditubuhkan pada September 2016, bergabung dengan PH untuk PRU14 dan berjaya menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN), sekali gus menyaksikan pertukaran buat kali pertama kerajaan di persekutuan sejak Merdeka.

Kerajaan baharu itu bagaimanapun tumbang pada 24 Februari lalu selepas Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari gabungan pemerintah, dan pada masa sama, beberapa ahli Parlimen PKR juga keluar dari PH.

Minggu lalu, 27 pemimpin kanan Bersatu mengumumkan secara terbuka sokongan mereka terhadap tindakan Muhyiddin itu. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen