TIADA lagi tidak titik penyatuan yang dapat dilihat di antara Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin selepas dua pemimpin kanan Bersatu itu bergeser, kata pemimpin parti.
Antaranya, seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Muhammad Faiz Naaman yang melihat kedua-dua pemimpin itu kini membawa haluan masing-masing.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, itulah yang dilihat berlaku dalam krisis parti serpihan Umno tersebut selepas Muyiddin membawa parti tersebut keluar dari Pakatan Harapan.
“Kita tidak nampak titik penyatuan antara mereka kerana Tun Mahathir terus bertegas mahu Bersatu berada dalam Pakatan Harapan.
“Manakala Muhyiddin dengan sokongan majoriti pemimpin Bersatu telah pun menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelas beliau, retak dalam Bersatu sudahpun terbelah sejak Dr Mahathir menggelar Muhyiddin sebagai pengkhianat pada Februari, ketika krisis politik Malaysia memuncak.
Bersatu seterusnya membentuk gabungan baharu bersama Barisan Nasional, PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak, dan kini mentadbir Putrajaya dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Dr Mahathir dan penyokongnya berkali-kali menegaskan tindakan Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH dan bekerjasama dengan Umno tidak sah kerana tidak mendapat mandat parti.

Keadaan juga kini semakin tegang disebabkan tindakan penyokong fanatik Dr Mahathir menyerang keperibadian Muhyiddin hingga menyebabkan ahli Bersatu terbahagi kepada dua kumpulan.
“Selain dari kenyataan demi kenyataan dari Dr Mahathir, Mukhriz (Mahathir), Syed Saddiq dan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu yang pro kepada Tun M seperti Tariq Ismail, Ulya Aqamah Husamudin, A Kadir Jasin dan Dr Maszlee Malik yang terus menghentam kepimpinan Muhyiddin dan kerajaan PN secara terbuka,” katanya.
Perletakan jawatan Dr Mahathir
Ditanya mengenai status kedudukan Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu pada masa ini, Muhammad Faiz berkata MPT tiada kuasa dalam perlembagaan parti untuk menolak perletakan jawatan tersebut.
Ia ekoran ketetapan oleh Jabatan Perdaftar Pertubuhan yang menegaskan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi Bersatu selepas meletak jawatan pada 24 Februari.
Bagaimanapun, Dr Mahathir sudahpun menang tanpa bertanding jawatan sama bagi pemilihan untuk penggal akan datang.
Oleh itu, kata Muhammad Faiz, ini bermaksud pencalonan Dr Mahathir untuk jawatan pengerusi hanya berkuatkuasa untuk penggal seterusnya.
Proses pemilihan Bersatu untuk jawatan peringkat pusat masih belum dapat dilaksanakan buat masa ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang Covid-19 masih berkuatkuasa.
Sependapat dengannya, seorang lagi anggota MPT, Razali Idris yang berkata Dr Mahathir hanya akan kembali sebagai pengerusi Bersatu dalam penggal jawatan akan datang.
“Ini memang termaktub dalam perlembagaan parti.
“Sekarang ini pemilihan baru di peringkat cawangan bagi tujuan pemilihan jawatankuasa bahagian dan untuk peringkat bahagian bagi memilih MPT masih belum lagi (diadakan),” katanya.

Bersatu menangguhkan pemilihannya sulungnya sejak penubuhan empat tahun lalu, yang dijangka akan ditetapkan pada satu tarikh baharu selepas 30 Jun ini.
Mengulas mengenai masa depan Bersatu dalam menghadapi krisis ini, Razali yang juga seorang senator melihat nasib parti itu akan lebih baik jika bersama PN.
“Jadi saya lihat Bersatu masa depan sangat luas bersama PN. Dengan PN, Bersatu boleh buat pertambahan kerusi dalam PRU.
“Dan Muhyiddin sebagai pengerusi dan perdana menteri beliau menjalankan tugas dengan baik. Perpecahan ini hanya perpecahan dalaman dan tidak jejaskan hala tuju Bersatu.
“Bagi saya masa depan Bersatu terletak kepada presiden dan perdana menteri sekarang ini,” katanya.

Kedua-dua anggota MPT itu juga mengakui konflik dalaman parti menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi.
Muhammad Faiz berkata kekeliruaan ini semakin buruk dengan perpecahan kepada tiga kem dalam parti.
“Tiga kumpulan ini, satu kumpulan menyokong kepimpinan Muhyiddin bersama PN, satu lagi yang mahu Dr Mahathir terus bersama PH dan satu kumpulan yang atas pagar mahu melihat Tun dan Muhyiddin kembali berbaik.
“Jadi masih ramai ahli akar umbi yang keliru dengan apa sebenar yang terjadi kerana pihak Dr Mahathir terus mengeluarkan kenyataan berbeza dengan apa sebenarnya yang terjadi dalam mesyuarat MPT parti,” katanya.
Razali yang juga sependapat berkata, MPT berdepan kekangan untuk memberi penjelasan disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Peringkat bawah masih belum jelas kerana Dr Mahathir pengasas parti bersama Muhyiddin, Mukhriz dan bersama kita semua tapi bila dengan Dr Mahathir pengerusi parti jadi mereka akan keliru.
“Dan kerana Covid 19 kita tak boleh membuat penjelasan kepada akar umbi. Di pihak kerajaan kita patuh SOP,” katanya.
Beliau berkata MPT merancang untuk mengerakkan program penjelasan berhubung konflik dalaman parti kepada akar umbi sebaik saja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tamat.
Pendaftar Pertubuhan sudah mengesahkan keputusan Muhyiddin pada 24 Februari lalu yang menyatakan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi parti itu.
Sebelum itu, majoriti MPT turut mengeluarkan kenyataan menyokong keputusan Muhyiddin membawa keluar Bersatu dan membentuk gabungan baru. – 22 Mei, 2020.
Komen