"Mengenali Kristologi” dibatalkan


Asila Jalil

Penganjur seminar "Mengenali Kristologi" membatalkan seminar itu atas sebab yang "tidak dapat dielakkan" – Gambar Facebook, 25 November, 2017.

PENGANJUR “Mengenali Kristologi” membatalkan majlis yang sepatutnya diadakan pada 9 dan 10 Disember depan.

Nur Fitrah mengumumkan majlis itu terpaksa dibatalkan kerana sebab-sebab tidak dapat dielakkan.

“Pihak kami memohon ribuan kemaafan serta akan menghubungi semula semua peserta yang telah mendaftarkan diri. Segala kesulitan amat dikesali,” kata NGO itu menerusi akaun Facebook rasminya.

Mereka juga mengatakan selaku orang Islam, seseorang perlu yakin akan janji Allah dan memetik Ayat 8 Surah As-Saff yang berbunyi: ““Mereka ingin memadam cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan), tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya walaupun orang musyrik membencinya”. 

Semalam, kerajaan Selangor mengarahkan Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (Kuis) untuk menyiasat adakah seminar kontroversi itu sudah memperolehi semua kelulusan diperlukan. 

Poster majlis yang menggunakan perkataan “mantan rahib” merujuk kepada penceramah Indonesia, Irene Handono dihebahkan menerusi media sosial mencetuskan kekecohan.

Handono sebelum ini, pernah hadir di majlis lain di Malaysia pada 2014, tetapi dituduh menipu kelayakannya selaku rahib dan bukanlah “mantan rahib” seperti didakwa.

Media sosial kecoh dengan ramai bertanyakan sama ada seminar itu akan menjadi majlis mengecam agama Kristian seperti mana seminar pada 2014 dihadiri Handono.

Pada hari sama, penganjur memutuskan untuk meminda poster dan membuang perkataan “mantan rahib” daripadanya.

Nur Fitrah mengatakan poster itu diubah susulan kemarahan orang awam berikut penggunaan terma “mantan rahib” merujuk kepada Handono, dan menyifatkan wujud kekeliruan antara pemahaman terma itu antara orang Islam Malaysia dan penganut Kristian.

Kuis kemudiannya mengarahkan penganjur menarik kembali poster kerana ia tidak memohon permit pihak berkuasa, kata Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi. – 25 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen