Poster diubah, ‘mantan rahib’ masih akan beri ceramah


Yasmin Ramlan

Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi berkata pihak penganjur perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Agama Islam Selangor bagi program 'Mengenali Kristologi'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2017.

SEORANG wanita warga Indonesia masih akan bercakap di sebuah ceramah “Mengenali Kristologi” walaupun penganjur memutuskan untuk mengeluarkan perkataan “mantan rahib” di dalam poster mereka.

Menurut penganjur yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO), Nur Fitrah, ia dilakukan berikutan pelbagai kritikan yang diterima dari orang ramai.

“Nur Fitrah telah menerima pelbagai kritikan penggunaan perkataan mantan rahib oleh penganut Kristian dari Indonesia, walaupun wakil Ibu Irene (Irene Handano) telah mengesahkan bahawa beliau pernah menjadi biarawati,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menjelaskan salah faham yang dihadapi, Nur Fitrah berkata, pihaknya menyangka bahawa seseorang tersebut digelar mantan rahib apabila individu terbabit pernah menjalani beberapa latihan kerahiban.

“Bagi fahaman Muslim di Malaysia, seseorang yang pernah mengisytiharkan dirinya sebagai rahib dan melalui beberapa latihan kerahiban adalah mantan rahib.

“Fahaman ini rupanya bercanggah dengan istilah di sisi penganut Kristian bahawa calon rahib yang berhenti dari menjadi rahib atau rahib yang tidak memenuhi syarat ordinassi tidak boleh digelar mantan rahib.

“Justeru, bagi mengelakkan pertikaian yang lebih panjang, Nur Fitrah akan menggugurkan perkataan mantan rahib dari poster-poster iklan program kami,” katanya.

Nur Fitrah juga mengatakan program tersebut hanya terhad kepada Muslim dan kumpulan sasaran sahaja.

“Surat rasmi dan bebanan melalui media sosial telah dihantar kepada kumpulan sasaran program sahaja. Pihak kami menjemput Ibu Irene atas kapasiti beliau sebagai pendakwah Muslimah yang mempunyai pengetahuan tentang Kristologi untuk berkongsi ilmu serta pengalaman beliau.

“Sasaran program kami adalah pelajar-pelajar Muslim yang sedang mempelajari ilmu perbandingan agama dan pendakwah-pendakwah Muslim di Malaysia,” katanya.

Poster tersebut memaparkan Ibu Irene akan membimbing peserta pada 9 dan 10 Disember ini dalam program “Mengenali Kristologi” dengan bayaran RM30 bagi pelajar manakala RM100 bagi orang awam.

“Kami memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan poster iklan program kami ini,” katanya.

Beberapa hari sebelum ini tular bahawa Irene atau lebih dikenali sebagai Ibu Irene dijemput sekali lagi untuk mengendalikan sebuah program agama di Malaysia. Kerajaan Indonesia sebelum ini menafikan Ibu Irene adalah mantan rahib. 

Pada Mei 2014, satu seminar anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencetuskan kontroversi selepas memanggil Ibu Irene dan seorang lagi penceramah,  LS Mokoginta, juga dari Indonesia. Kedua-dua dipanggil memberikan ceramah berkaitan Kristologi. Bagaimanapun, semakan The Malaysian Insight bersama Bishops Conference of Indonesia (BCI) menafikan Irene seorang penganut Katolik dan Rahib. – 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen