KOLEJ Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) Selangor yang menganjurkan program “Mengenali Kristologi”, diarahkan menyiasat sama ada penganjur sudah mendapat kelulusan sewajarnya atau tidak.
Poster mengenai program itu yang sedang tersebar di media sosial, menyatakan ia akan menampilkan speaker agama Indonesia, Irene Handono di mana sebelum ini beliau didedahkan sebagai rahib palsu.
Media sosial juga kecoh dengan sesetengahnya bertanya adakah program itu akan menjadi satu lagi sesi membelasah Kristian seperti seminar yang pernah diadakan pada 2014 yang turut menampilkan Irene.
Exco Selangor yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, Ahmad Yunus Hairi berkata penganjur program itu, sebuah kumpulan persatuan sivil baharu Nur Fitrah perlu mendapatkan kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebelum menganjurkannya.
“Saya dimaklumkan berkenaan anjuran NGO ini (Nur Fitrah), pihak Kuis sedang buat siasatan. Secara prosedurnya saya dimaklumkan oleh Kuis, pihak penganjur perlu mendapat kelulusan dari Mais.
“Saya tak pasti sama ada penganjur sudah buat permohonan (permit) kepada Mais atau tidak,” katanya menerusi WhatsApp kepada The Malaysian Insight.
Sebuah poster memaparkan Irene yang lebih dikenali sebagai Ibu Irene akan mengendalikan Program “Mengenali Kristologi” turut memperkenalkan beliau sebagai “Ibu Irene Handono – mantan Rahib”.
Program itu dijadualkan diadakan di Kuis dari 9 hingga 10 Disember, bayaran RM30 dikenakan kepada pelajar dan RM100 pada orang awam.
Rektor Kuis Prof Dr Abdul Halim Tamuri memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya kerana berada di luar kawasan.
“Saya belum dapat laporan sebab baru sampai dari Kuching,” katanya melalui WhatsApp.
Tidak jelas sama ada Kuis salah seorang penganjur atau hanya menjadi tuan rumah program di kampus itu.
Kristologi ialah pengajian mengenai Jesus seperti dirakamkan di Gospel dan surat dalam New Testament.
Pada Mei 2014, satu seminar anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencetuskan kontroversi selepas memanggil Irene dan seorang lagi penceramah, LS Mokoginta, juga dari Indonesia.
Bagaimanapun, semakan portal The Malaysian Insider bersama Bishops Conference of Indonesia (BCI) menafikan Irene seorang penganut Katolik dan rahib.
Setiausaha Eksekutif BCI Father Edy Purwanto memberitahu laman berita itu yang Irene tidak menghabiskan pendidikannya.
Purwanto berkata siasatan oleh gereja Indonesia turut mendedahkan Irene hanya bersama jemaah Ursuline Sisters sebagai novis dalam tempoh sekejap saja.
“Dia tidak pernah habiskan. Selepas itu kami tidak tahu di mana dia ‘belajar’, hinggakan dia kini bercakap di seminar yang memperkecilkan Kristianiti, terutama gereja Katolik,” kata Purwanto.
Seperti Irene, LS Mokoginta juga mendakwa dirinya sebagai bekas paderi Katolik. Tetapi BCI berkata ia tidak ada data tentang paderi yang direkodkan.
Pada seminar 2014, penceramah berkata kalimah “Allah” sepatutnya hanya digunakan oleh Muslim kerana ia berasal daripada A-Quran dan tidak pernah digunakan dalam Bible asal.
Beberapa penceramah memberi amaran kepada Muslim berkenaan ancaman Kristianiti dan paderi Kristian yang menyamar dan dihantar ke Malaysia untuk memurtadkan umat Islam.
Salinan buku terbitan Mais mengenai ancaman Kristianiti dan didakwa evanselisme dalam kalangan umat Islam di Malaysia turut diedarkan secara percuma kepada peserta hari itu.
Seminar itu dianjurkan secara bersama oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Islam Selangor dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group dan Kumpulan Syarikat Pantai Bharu.
Beberapa laporan polis kemudian dibuat di Selangor dan Sarawak di mana pengadu berkata seminar itu digunakan untuk membelasah Kristian dan tidak ada pakar Kristianiti yang dijemput untuk mempertahankan agama itu. – 24 November, 2017.
Komen