Kedah beralih hari ini, dua Adun PKR dijangka keluar parti, kata sumber


Zaim Ibrahim

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir bakal hilang majoriti petang ini susulan berita dua Adun PKR keluar parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2020.

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR di Kedah akan membuat pengumuman keluar dari parti tengah hari ini untuk menyokong Perikatan Nasional (PN), menjadikan negeri di utara itu yang keempat beralih kerajaan sejak perubahan politik di Putrajaya pada awal Mac lalu.

Adun Sidam, Robert Ling Kui Ee dan Adun Lunas, Azman Nasarudin, dijadual mengadakan sidang media bersama di Sungai Petani pada 12 tengah hari, ketika spekulasi kedudukan pentadbiran Menteri Besar Mukhriz Mahathir yang rapuh semakin hangat sejak seminggu lalu.

“Sidang media ini untuk beritahu mereka sokong PN,” kata seorang sumber dalaman PKR kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, PN Kedah juga memanggil satu sidang media berasingan pada 3 petang ini di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar. 

Pakatan Harapan (PH) kini menguasai DUN Kedah dengan dua kelebihan kerusi, dan dengan peralihan dua wakil rakyat PKR hari ini akan menjadikan PN pula yang mempunyai kelebihan sama.

PH mempunyai 13 kerusi iaitu PKR 7, Amanah 4, dan DAP 2 kekal sebagai kerajaan dengan dukungan 6 kerusi dari Bersatu walaupun tidak lagi bersama dalam sebuah gabungan.

PAS mempunyai 15 kerusi sementara Umno 2 kerusi. 

Bukan kejutan

Dua Adun PKR ini diketahui kuat menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali yang dipecat kerana dianggap mengkhianati parti dan dalang runtuhnya PH di Putrajaya.

Minggu lalu, Ling mencabar PKR memecatnya selepas parti mengambil tindakan memecat timbalan ketua, ketua Pemuda dan dua ahli jawatankuasa cabang di Sungai Petani.

“Bila mahu gantung saya pula? Takut untuk pecat saya ke? Takut hilang kerajaan negeri pula ke? Saya akan pertahankan anggota yang setia dengan saya di Kedah,” tulisnya di Facebook.

Ling mengetuai cabang PKR Sungai Petani selepas mengalahkan Ahli Parlimen Johari Abdul, yang kini mempengerusikan Pakatan Kedah.

Azman pula sudah lama dihebohkan akan keluar parti sejak PH jatuh di Putrajaya. Beliau bagaimanapun menafikan desas-desus itu.

Azman adalah exco dalam kerajaan negeri, memegang portfolio pertanian dan sumber tani, pengangkutan dan industri utama.

Minggu lalu juga, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya mengumumkan kesediaan parti Islam itu untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Pada Ahad, pemimpin PAS dan Umno negeri mengadakan mesyuarat tertutup hampir tiga jam, dipercayai membincangkan peralihan kerajaan negeri.

Pertemuan melibatkan semua 17 wakil rakyat kedua-dua parti dan disertai pemimpin kanan parti dari pusat.

Pertemuan dihadiri Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan; Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Moktar; dan Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom.

Sejak PH jatuh di Putrajaya, tiga negeri juga beralih pentadbiran iaitu Johor, Melaka, dan Perak, yang mengikut jejak kerjasama politik di pusat.

Mukhriz pernah disingkir daripada jawatan menteri besar Kedah pada 2016 selepas beliau dipecat daripada Umno bersama Muhyiddin Yassin kerana membangkitkan soal skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan kaitannya dengan Najib Razak.

Mukhriz dan Muhyiddin, bersama beberapa pemimpin lain termasuk Dr Mahathir Mohamad, kemudian mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada September 2016.

Parti itu kemudian menyertai PH dan menumbangkan Barisan Nasional di Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – 12 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen