USUL undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang dibawa oleh Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, tidak kena pada masanya, ketika kerajaan dan rakyat berhadapan dengan kesan penularan Covid-19, kata seorang pemimpin tinggi Bersatu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata tindakan Dr Mahathir itu lebih atas kepentingan peribadi serta turut membelakangkan kepentingan parti.
“Usul sebegini tidak peka dengan kesusahan rakyat dalam musim Covid-19 dan tekanan ekonomi. Ini bukan masanya.
“Sekarang bukan masa membalas dendam kesumat peribadi. Usul ini terasing dari realiti.
“Tun Mahathir juga tak pernah bincangkan usul yang besar ini dengan MPT Bersatu. Ia tindakan peribadi yang membelakangkan kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Saiful dalam pada itu mengucapkan syabas kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof kerana membuat keputusan berdasarkan peraturan.
“Ini menunjukkan kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin tidak mengongkong Parlimen,” tambahnya.
Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini adalah yang pertama sejak Muhyiddin mengetuai pentadbiran baharu Perikatan Nasional.
Mohamad Ariff hari ini memaklumkan beliau menerima usul yang dikemukakan oleh Dr Mahathir, selaku Ahli Parlimen Langkawi, untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat pada 18 Mei.
Mohamad juga menerima dua daripada empat usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu Sapi, VK Liew berkaitan sidang Dewan Rakyat yang ditetapkan hanya untuk sehari dan mencadangkan agar ia dilanjutkan kepada lapan hari.
Menurut Wan Saiful, Dr Mahathir sepatutnya berbincang dengan Muhyiddin untuk menyelesaikan isu parti.
“Sudah lama Tan Sri Muhyiddin minta (untuk berjumpa dan berbincang).
“Kalau sekalipun Tun Mahathir enggan memanggil mesyuarat MPT kerana bimbang majoriti MPT terus menolak ajakan beliau untuk kembali ke pangkuan DAP dan PH, maka boleh saja berjumpa empat mata dengan Tan Sri Muhyiddin.
“Bukan dengan cuba menjatuhkan kerajaan parti sendiri. Siapa yang akan dapat faedah dari usul ini?,” katanya.
Pada awal Mac, Wan Saiful mendedahkan Muhyiddin ada menulis surat kepada Dr Mahathir memohon satu pertemuan dengan bekas perdana menteri.
Dr Mahathir ketika itu berkata beliau hanya sedia berjumpa kalau Muhyiddin menyingkirkan Umno dari kerajaannya.
Muhyiddin jadi perdana menteri pada 1 Mac selepas hampir seminggu kemelut politik yang menumbangkan Pakatan Harapan sebagai kerajaan di Putrajaya.
Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin menarik parti keluar dari Pakatan pada hujung Februari lalu sehingga membawa kepada peralihan kuasa di Putrajaya dan tiga negeri.
Satu kelompok menyokong Dr Mahathir sementara satu kumpulan lagi mendukung Muhyiddin. – 8 Mei, 2020.
Komen