Muhyiddin mahu jumpa Dr Mahathir, kata pemimpin Bersatu


Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mendedahkan perkara itu dalam satu pertemuan pada Jumaat lalu, kata Wan Saiful Wan Jan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

MUHYIDDIN Yassin mahu bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad dan sudah menghantar sepucuk surat bagi mengatur pertemuan dengan pengerusi Bersatu itu, kata Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu berkata Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dan perdana menteri, mendedahkan perkara itu dalam satu pertemuan pada Jumaat lalu.

“Muhyiddin berkata beliau sudah menghantar surat untuk meminta Dr Mahathir bertemu. Hanya menunggu tarikh dari Dr Mahathir sahaja.

“Kita berharap supaya Dr Mahathir bersetuju untuk bertemu secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata majoriti ahli Bersatu mahu pucuk pimpinan parti itu kembali bersatu.

Bersatu kini terpecah dua kepada ahli Parlimen pengikut Dr Mahathir yang mahu mempertahan pentadbiran Pakatan Harapan dan penyokong Presiden Muhyiddin Yassin bersama gabungan baharu Perikatan Nasional.

Perikatan Nasional itu menggabungkan Bersatu dengan Muafakat Nasional di antara Umno dan PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan juga ahli Parlimen yang menyokong bekas pemimpin PKR Azmin Ali.

Dr Mahathir juga semalam menegaskan beliau masih pengerusi parti Bersatu yang sah kerana peletakan jawatannya ditolak, dan turut berpegang pada pendirian bahawa Muhyiddin bukanlah memangku tugasnya.

Bagaimanapun, krisis dalaman parti terus bergolak kerana tercetus spekulasi tentang sokongan ahli parti terhadap ahli Parlimen Pagoh itu.

Wan Saiful berkata ahli parti menggesa dan berhadap pucuk pimpinan parti agar berdamai dan bersatu.

“Parti kita dibina atas semangat tiga pemimpin utama iaitu Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir.”

Beliau juga berharap pemimpin parti berhenti mengeluarkan kenyataan atau menganjurkan majlis yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Tiada perlu bertemu media tempatan atau antarabangsa bagi meruntuhkan parti.

“Mari kita selesaikan isu ini secara dalaman dengan semangat satu keluarga. Malah lebih baik menganjurkan solat hajat dan munajat mendoakan agar penyatuan kembali pemimpin kita adalah lebih baik.” – 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen