Duduk rumah sampai 14 April, umum PM


Keputusan melanjutkan tempoh PKP berdasarkan statistik kes positif baharu Covid-19 masih berlaku dan trendnya dijangka berterusan untuk beberapa ketika. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April ini, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ketika kes jangkitan Covid-19 terus meningkat.

Perintah yang mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu sepatutnya berakhir 31 Mac ini.

Muhyiddin juga meminta rakyat bersedia untuk terus tinggal di rumah bagi suatu tempoh yang lebih lama.

Katanya, keputusan itu perlu kerana taklimat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara menunjukkan kes positif baharu Covid-19 masih berlaku dan trendnya dijangka berterusan untuk beberapa ketika.

“Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

“Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia,” katanya, dalam perutusan kepada rakyat yang disiarkan secara langsung di televisyen sebentar tadi.

Jelas Muhyiddin, perintah itu juga akan dikaji dari masa ke masa, dan jika perlu, akan dilanjutkan lagi.

“Yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah,” katanya.

Jelas Muhyiddin, walaupun perintah kawalan pergerakan setakat ini “sedikit sebanyak” berjaya mengawal penularan Covid-19, namun sasarannya ialah sehingga tiada lagi kes baharu.

“Pada masa ini kes-kes baharu masih dicatatkan walaupun dalam tempoh beberapa hari yang lalu jumlahnya agak mendatar,” katanya.

Tambah beliau, setakat 12 tengah hari ini, kes jangkitan positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 1,796 kes, dengan penambahan 172 kes baharu.

“Tujuh hari yang lalu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif Covid-19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu,” katanya.

Untuk itu, jelas Muhyiddin, strategi kerajaan sekarang ialah hendak mencegah jangkitan.

Strategi itu bagaimanapun hanya akan berjaya kalau orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan, dan itu boleh dilakukan dengan mengawal pergaulan harian.

“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. 

“Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu. 

“Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya,” kata perdana menteri.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat pada Jumaat ini, selepas dua pengumuman yang dibuat sebelum ini.

Pada Isnin, Muhyiddin mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja serta beberapa bantuan lain, termasuk peruntukan keseluruhan RM130 juga untuk semua negeri.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan kelulusan Bank Negara Malaysia untuk penangguhan bayaran balik dan penyusunan semula pinjaman untuk individu dan usahawan. – 25 Mac, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen