Kes Covid-19 bertambah kepada 1,796


Ragananthini Vethasalam

BERDASARKAN bilangan 172 kes yang dilaporkan sehingga pukul 12 tengahari ini, jumlah kes Covid-19 di Malaysia kini meningkat kepada 1,796, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Tujuh hari lalu jumlah kes Covid-19 adalah 673. Ini bermakna jumlah kes positif Covid-19 meningkat sebanyak sekali ganda dalam tempoh hanya seminggu,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di televisyen nasional.

Malaysia setakat ini melaporkan 17 kematian akibat virus itu, yang juga termasuk seorang doktor.

Menurut Muhyiddin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan jumlah kes Covis-19 di negara ini dijangka meningkat jika tiada tindakan pembendungan diambil.

“Jumlah jangkitan mungkin meningkat berkali-kali ganda seperti di beberapa negara lain sekiranya wabak berkenaan tidak dikawal.”

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan setakat ini berjaya mengawal penularan Covid-19, tetapi kerajaan menyasarkan tiada lagi kes baharu dilaporkan.

“Pada masa ini kes-kes baharu masih dicatatkan walaupun dalam tempoh beberapa hari yang lalu jumlahnya agak mendatar,” kata Muhyiddin.

Kementerian Kesihatan juga katanya telah mengambil langkah termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 negara yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

“Pada masa ini 34% daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, baki 66% lagi yang masih boleh menampung pesakit.”

Beberapa tempat juga dikenal pasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin semasa, tambah beliau.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga meningkatkan kapasiti ujian saringan, termasuk secara besar-besaran di kawasan berisiko tinggi.

“Usaha-usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan Covid-19 sehinggalah kita benar-benar dapat membendung wabak ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya,” kata Muhyiddin. – 25 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen